top of page
  • Wartawan Nabalu News

UPKO cadang kerajaan bentuk jawatankuasa khas Program Panduan Kerjaya



27 Nov 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mencadangkan agar kerajaan membentuk satu jawatankuasa khas untuk melaksanakan Program Panduan Kerjaya secara menyeluruh.


Timbalan Setiausaha Agung UPKO, Dr. Peter Jr. Naintin berkata ini termasuk keperluan tenaga mahir dan separa mahir dalam industri pertanian, pembuatan dan pelancongan di negeri ini.


“Ini supaya menjelang tahun 2030 seramai 100,000 generasi muda akan menjadi tenaga mahir dan separa mahir dalam bidang kejuruteraan, perubatan, kewangan, perniagaan, perundangan, pendidikan, pertanian dan usahawan di Sabah.


“Sehubungan itu, cadangan Satu Graduan Satu Keluarga dan Satu Keluarga Satu Perniagaan perlu diperkenalkan,” katanya ketika membentangkan usul semasa Persidangan Perwakilan Luar Biasa UPKO 2021 di Pusat Kebudayaan Sabah, di sini, hari ini.


Peter berkata, walaupun pembentukan Malaysia sudah mencapai umur 58 tahun dan Wilayah Sabah cukup diberkati dengan pelbagai sumber bumi yang boleh membantu mempertingkatkan ekonomi dan pembangunannya namun tanpa Sabah terus menjadi wilayah termiskin di Malaysia.


Katanya, Sabah merekodkan kemiskinan tertinggi di negara ini dengan kadar peratusan 25.3, diikuti Kelantan (21.2 peratus) dan Sarawak (12.9 peratus).


“Ini bermaksud satu per empat daripada penduduk di Wilayah Sabah iaitu kira-kira sejuta orang kini berada di ambang kemiskinan dengan pendapatan garis kemiskinan (PGK) di bawah RM2,208,” katanya.


Berdasarkan kajian PGK 2019 daerah Tongod merekodkan kadar kemiskinan 56.6 peratus, diikuti Pitas (53.6 peratus), Kota Marudu (46.2 peratus), Beluran (45 peratus), dan Telupid (40.7 peratus).


Menurut Peter, ini menyebabkan sebahagian penduduk Sabah merantau ke Semenanjung Malaysia bagi mencari peluang pekerjaan.


“Oleh itu, pembangunan modal insan perlu diperkasakan terutamanya dalam kalangan generasi muda menerusi pendidikan, kemahiran dan perniagaan,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan juga perlu fokus kepada jalan penyelesaian berdasarkan data baharu yang perlu dikumpul dan dikemaskini secara sistematik dan berkala.


“Data-data ini perlu dikemaskini dan diagihkan kepada agensi kerajaan berkaitan agar dapat membuat penyelarasan, pelaksanaan, dan pemantauan Program-program Pembasmian Kemiskinan secara kolektif," jelasnya.



bottom of page