UPKO CADANG LEBIH BANYAK JAWATANKUASA PILIHAN KHAS PARLIMEN DITUBUHKAN
- Wartawan Nabalu News
- Jul 5, 2021
- 2 min read

5 Julai 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mencadangkan agar Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menubuhkan lebih banyak Jawatankuasa pilihan khas (JPK) Parlimen bagi setiap portfolio kementerian dan melibatkan setiap Ahli Parlimen yang bukan Menteri atau Timbalan Menteri.
Presidennya Datuk Wilfred Madius Tangau berkata, pada masa ini, hanya sembilan JPK merangkumi 17 dari 28 portfolio menteri.
“Ini sekaligus mengenepikan 88 (40 peratus) daripada 220 anggota Parlimen yang ada - 79 daripada bahagian pembangkang dan sembilan daripada barisan belakang kerajaan daripada sebarang tanggungjawab jawatankuasa dan Parlimen hanya bersidang dua bulan dalam setahun. Semua ini perlu berubah.
“Sekiranya Perdana Menteri ingin terus menjalankan tugasnya, dia mesti sedia untuk berkongsi kuasa dengan Pembangkang dan penyokong kerajaan di Parlimen.
“Paradigma oligarki pasca 1969 seharusnya dihapuskan memandangkan kita kini dalam era digital abad ke-21. Teknokrat masih penting namun idea dasar daripada mereka perlu diteliti oleh JPK dan bukan hanya Menteri dan Timbalan Menteri,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.
Madius berkata: “Sekiranya kita terus mengekalkan oligarki menteri, penjawat awam dan golongan elit politik-perniagaan, kita akan terus melihat pembuatan dasar yang lalai, reaksi amarah awam dan dasar cacamerba. Walaupun Perdana Menteri ditukar setiap bulan, tindakan tersebut tidak akan mampu menyelamatkan keadaan kita sekarang”.
“Sekiranya PM takut kejatuhan kerajaannya ketika Parlimen dibuka kembali, selewat-lewatnya pada sesi pembentangan belanjawan, dia mesti mencapai kata sepakat dengan Pembangkang untuk gencatan politik.
“Sekiranya beliau bersetuju untuk berkongsi kuasa melalui Parlimen, saya yakin ramai Ahli Parlimen Pembangkang yang boleh mempertimbangkan agar kerajaan sekarang diteruskan sehingga tarikh PRU15 yang telah dipersetujui,” katanya.
Madius berkata, Perdana Menteri tidak seharusnya membuat tuntutan melulu dan tidak masuk akal terhadap Pembangkang.
“Sama seperti ahli parlimen yang lain, Ketua Pembangkang Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhak mengemukakan usul menjatuhkan kerajaan yang tidak berfungsi. Tidak ada salahnya dia mahu menjadi PM sekiranya penyandang jawatan tersebut enggan memilih langkah damai dan tidak memperoleh majoriti,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap Perdana Menteri dapat melakukan timbang tara dengan jelas mengenai legasi yang ingin ditinggalkannya apabila meninggalkan area politik kelak.
Commenti