UPKO dan KOPSA Bhd anjur kursus asas penanaman lada hitam di Lahad Datu
3 November 2024
LAHAD DATU: Satu taklimat kursus asas penanaman lada hitam telah diadakan di Kampung Upak Segama, Lahad Datu, hasil kerjasama antara Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) P188 Lahad Datu dan Koperasi Mukim Segama Lahad Datu Bhd, KOPSA Bhd pada Khamis, 31 Oktober lalu.
Kursus ini disampaikan oleh Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Lada Malaysia yang juga Pengerusi Persatuan Pengusaha dan Penanaman Lada Hitam Sabah (PLAS), Dennison R. Indang yang juga Bendahari Agung UPKO.
Beliau turut dibantu oleh Zita Bolingkong, Setiausaha PLAS dan juga Ahli Lembaga Pengarah Peladang Tuaran.
Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan, dengan penyertaan seramai 55 peserta yang terpilih untuk mengikuti kursus ini.
Hadirin didedahkan dengan pelbagai manfaat penanaman lada hitam atau nama saintifiknya Piper nigrum dari aspek ekonomi, kesihatan, dan alam sekitar.
Ini kerana lada hitam adalah antara komoditi yang mendapat permintaan tinggi di pasaran global. Harga jualannya stabil dan boleh memberi pendapatan lumayan kepada petani, terutamanya di negara-negara seperti Malaysia, India, dan Vietnam yang menjadi pengeksport utama.
Lada hitam juga kaya dengan antioksidan dan mengandungi piperine, yang membantu meningkatkan penyerapan nutrien dalam badan. Ia juga dianggap baik untuk pencernaan, mengurangkan keradangan, dan membantu meningkatkan metabolisme badan.
Sebagai rempah, lada hitam digunakan dalam pelbagai jenis masakan dan meningkatkan rasa makanan. Ia juga mengandungi minyak pati yang boleh dijadikan bahan asas dalam industri makanan dan kosmetik.
Hadirin turut didedahkan dengan manfaat kepada alam sekitar. Ini kerana lada hitam ialah tanaman yang biasanya ditanam bersama dengan tanaman lain seperti kelapa atau getah dalam sistem penanaman berlapis yang membantu mengekalkan biodiversiti tanah dan mengurangkan risiko hakisan tanah.
Produk dari lada hitam juga boleh dikembangkan. Selain daripada biji lada hitam, daun dan batangnya juga boleh digunakan untuk produk herba atau minyak pati yang membuka peluang untuk menghasilkan produk sampingan yang bernilai tambah.
Secara ringkasnya menanam lada hitam bukan sahaja menguntungkan dari segi pendapatan, tetapi juga menyokong amalan pertanian lestari dan memberi manfaat kepada kesihatan manusia.
Sementara itu dalam ucapan penutupnya, Datuk Basari Sarkun yang memainkan peranan penting dalam menjayakan program ini, menggesa para peserta agar berani mencuba sesuatu yang baru dan mempertimbangkan penanaman lada hitam kerana ia mendatangkan pulangan yang menguntungkan.
Selain itu, beliau juga menggalakkan peserta untuk meningkatkan pendapatan mereka melalui produk komoditi lain yang sedia ada.
Datuk Basari mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada para peserta, sambil berharap kursus ini akan memberikan mereka pengetahuan serta menjadi pemangkin untuk kejayaan dalam bidang penanaman lada hitam pada masa akan datang.
Comments