UPKO diterima sebagai parti komponen GRS
- nabalunews
- 7 hours ago
- 1 min read

18 Jun 2026
KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) diterima secara rasmi sebagai antara parti komponen baharu dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, keputusan menerima UPKO sebagai ahli gabungan baharu dipersetujui sebulat suara dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi GRS, di sini pada Khamis.
“Kita telah bersetuju sebulat suara untuk menerima UPKO sebagai ahli gabungan baharu GRS.
“Penerimaan ini sejajar dengan perjuangan GRS sendiri iaitu Sabah First dan untuk memberi kekuatan kepada parti-parti gabungan tempatan serta mewujudkan kestabilan kerajaan negeri yang sedia ada,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu di sini, hari ini.
Pada 29 Mei lepas, Presiden UPKO yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah Datuk Ewon Benedick menyerahkan permohonan secara rasmi kepada Hajiji.
Ewon berkata, keputusan UPKO menyertai GRS adalah untuk memperkukuh gabungan parti-parti tempatan di negeri ini.
“Penyertaan kita dalam GRS tidak mengurangkan kelantangan kita dalam menyuarakan pelbagai isu yang kita perjuangkan selama ini. Ia juga tidak mengecilkan peranan kita sebagai sebuah parti politik di negara ini, khususnya di Sabah,” katanya.
Katanya lagi, fokus utama UPKO adalah untuk melihat Sabah dipimpin oleh parti-parti tempatan yang mampu berdiri sama kuat dan setara dengan negeri-negeri lain dalam Persekutuan Malaysia.
“Ini penting supaya kita boleh berdiri sama kuat dengan Sarawak dan sama tegas dengan rakan-rakan kita di Semenanjung,” katanya.















Comments