UPKO kekal teguh tuntut hak Perlembagaan Sabah
- nabalunews
- 13 minutes ago
- 2 min read

18 Januari 2026
KOTA KINABALU: Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) konsisten dengan pendirian menuntut hak Perlembagaan Sabah sebagaimana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Setiausaha Agung UPKO, Senator Datuk Nelson Wences Angang, berkata perjuangan menuntut hak Sabah, termasuk tuntutan 40 peratus hasil negeri, merupakan antara teras perjuangan utama parti itu sejak penubuhannya.
Menurutnya, pemimpin UPKO sentiasa dan terus lantang bersuara dalam memperjuangkan tuntutan tersebut bukan sahaja di Dewan Undangan Negeri (DUN), malah di peringkat Parlimen.

Tambahnya , keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Oktober tahun lalu disifatkan sebagai satu keputusan bersejarah yang dinantikan seluruh rakyat Sabah kerana mencerminkan keadilan yang telah lama diperjuangkan.
“Presiden kita, Datuk Ewon Benedick secara lantang dan berprinsip menuntut supaya Kerajaan Persekutuan tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi ini, sehingga beliau sanggup meletak jawatan sebagai Menteri di Persekutuan.
“Ramai memuji, ramai juga mengkritik, namun perbezaan pandangan adalah lumrah dalam perjuangan dan UPKO tidak akan terpesong daripada matlamat asalnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO Ke-17 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Nelson turut menegaskan komitmen parti untuk terus memutuskan rantaian kemiskinan rakyat serta meningkatkan taraf hidup secara bermaruah kerana ia adalah tanggungjawab moral dan amanah parti.
Dalam pada itu, katanya, perjuangan ‘Sabah First’ bukan bersifat anti-Persekutuan, sebaliknya berteraskan hasrat rakyat Sabah untuk menikmati pembangunan yang adil dan seimbang secara menyeluruh
“Kita tidak menolak Kerajaan Persekutuan dan saya yakin setiap ahli UPKO serta rakyat Sabah mahu melihat Persekutuan Malaysia yang maju dan makmur rakyatnya.
“Slogan ini mencerminkan impian rakyat Sabah untuk merasai kehidupan lebih baik dan makmur, seperti yang dijanjikan sewaktu Perjanjian Malaysia ditandatangani pada tahun 1963,” ujarnya.
Sementara itu, beliau menyeru agar UPKO memperkukuh penglibatan di peringkat akar umbi, mempertingkatkan kecekapan pengurusan parti, serta mengukuhkan kepimpinan di peringkat cawangan dan kawasan agar lebih responsif terhadap keperluan rakyat.
Jelasnya, ini termasuk cadangan mengembalikan struktur bahagian UPKO berasaskan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), selain menjadikan persidangan peringkat cawangan dan bahagian sebagai platform utama untuk menyuarakan aspirasi akar umbi.


















Comments