top of page

UPKO kemukakan cadangan atasi empat kategori masalah PATI di Sabah

Wartawan Nabalu News

27 Nov 2021 Oleh Wartawan Nabalu News PENAMPANG: Empat cadangan bagi mengatasi masalah pendatang asing dikemukakan semasa Persidangan Agung Luar Biasa, Pertubuhanan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) 2021 di Pusat Kebudayaan Sabah, di sini, hari ini. Menurut Ketua Pergerakan Pemuda Pusat UPKO, Felix Joseph Saang usul tersebut dikemukakan bagi mengatasi masalah Pendatang Tanpa Izin (PTI), Pelarian Perang (Refugees), Tanpa Warganegara (Stateless) dan warga asing yang telah mendapatkan kerakyatan dan memperolehi Kad Pengenalan secara haram. “Kita sedar bahawa terdapatnya kekeliruan untuk memahami wujudnya perbezaan terhadap permasalahan, cabaran dan penyelesaian dalam empat kategori permasalahan warga asing ini. “Walaupun laporan Suruhanjaya Siasatan (RCI) Pendatang Asing Sabah telah dikeluarkan pada Disember 2014 namun tindakan-tindakan susulan belum lagi kelihatan khususnya untuk menangani cabaran dan mencari jalan penyelesaian terhadap masalah ini,” katanya. Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul penyelesaian masalah pendatang asing di Sabah dalam Persidangan Perwakilan Luar Biasa UPKO 2021, hari ini. Menurut Felix, perkara pertama yang perlu diambil ialah mengenal pasti dan mengiktiraf kewujudan empat kategori utama dalam permasalahan dan cabaran terhadap warga asing di Sabah. “Bagi permasalahan Pendatang Asing Tanpa Izin (PTI), kerajaan perlu memperkukuhkan lagi kawalan keselamatan sempadan negeri Sabah daripada terus dibolosi dan dicerobohi oleh PTI. “Justeru, kerajaan perlu menambah aset yang bersesuaian dan berteknologi tinggi serta menambah jumlah anggota keselamatan yang menjaga sempadan Sabah,” jelasnya. Seterusnya, bagi mengatasi permasalahan pelarian perang kerajaan perlu mengadakan rundingan dengan kerajaan Filipina untuk menerima kembali golongan-golongan Pelarian Perang, kata Felix. Jika kesemua usaha gagal beliau mencadangkan supaya pelarian perang dan tanpa warganegara di Sabah dipindahkan ke negeri-negeri di Semenanjung Malaysia bagi mengurangkan jumlah populasi itu di negeri ini.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page