top of page

UPKO Keningau Semarakkan Sambutan Ulang Tahun ke-31 dengan Semangat Perpaduan

  • nabalunews
  • 4 hours ago
  • 2 min read


8 Mei 2025


KOTA KINABALU: Ulang tahun ke-31 Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) disambut meriah di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu pada 2 Mei lalu, memperlihatkan kekuatan dan kesatuan ahli-ahli dari pelbagai bahagian, khususnya dari Keningau.


Rombongan UPKO Bahagian Keningau yang diketuai oleh Ketua Bahagiannya, Datuk Dr. Laurentius Nayan Ambu, turut hadir memeriahkan sambutan ini bersama barisan kepimpinan lain.


Turut serta dalam majlis ini ialah Ketua Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum (CLC) UPKO Bingkor, Kennedy John, Ketua CLC UPKO Tambunan, Peter Yasin, Ketua Pemuda UPKO Keningau, Jeffsonzo Japrin, Ketua Generasi Muda (GEM), Haisam Hamzani, serta barisan Ahli JawatanKuasa (AJK) Bahagian UPKO.


Menurut Kennedy, kehadiran pelbagai lapisan kepimpinan dan ahli dalam majlis ini menggambarkan kekuatan sebenar UPKO – iaitu perpaduan dan kesatuan yang kukuh dalam memperjuangkan hak serta kepentingan rakyat.


"Majlis ini bukan sekadar sambutan biasa. Ia lambang perjuangan yang berterusan dan bukti bahawa UPKO tetap berdiri teguh menyuarakan isu-isu rakyat," kata beliau.


Beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh kepimpinan yang diterajui oleh Presiden Parti, Datuk Ewon Benedick dan ahli UPKO atas komitmen serta dedikasi mereka selama ini.


Sambutan ini turut diisi dengan pelbagai aktiviti yang menunjukkan identiti perjuangan parti serta menyuntik semangat baru dalam kalangan ahli untuk terus memperkukuh asas perjuangan parti di peringkat akar umbi. Ia juga menjadi wadah mempererat hubungan antara bahagian dan cawangan, sekali gus mengukuhkan jalinan kerjasama dalam melaksanakan agenda pembangunan yang inklusif.


Bagi Jeffsonzo, kehadiran golongan muda dalam majlis ini jelas menunjukkan bahawa UPKO mampu menarik sokongan generasi baharu yang berpotensi untuk menjadi pemimpin masa depan.


Manakala Haisam pula menegaskan bahawa suara generasi muda tidak boleh dipinggirkan dan perlu diberikan ruang serta peluang dalam arus kepimpinan parti.


UPKO Bahagian Keningau menganggap sambutan ini sebagai titik permulaan untuk memperhebatkan lagi gerak kerja parti menjelang pilihan raya akan datang, dengan menumpukan pada pendekatan yang lebih dekat dengan rakyat serta memperjuangkan keperluan masyarakat luar bandar secara efektif.


Dengan semangat kesatuan dan perpaduan yang ditonjolkan, UPKO terus mengorak langkah sebagai parti yang relevan dalam landskap politik Sabah, membawa harapan baharu buat rakyat negeri itu.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page