top of page
nabalunews

UPKO Kudat Sumbang 100 Kerusi dan 6 Meja Panjang untuk Kegunaan Murid SK Kanibongan, Pitas



Oleh: Romie Stanley Deukin

10 November 2024


PITAS :  Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Kudat meneruskan program prihatin dengan menyampaikan sumbangan berupa 100 kerusi plastik dan enam meja panjang kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Kanibongan di Pitas dalam usaha membantu menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi komuniti setempat.


Ketua Bahagian (UPKO) Kudat, Junsim Rumunzing, telah menyampaikan sumbangan itu kepada Guru Besar sekolah tersebut, Mohd Yassin Aning, yang turut disertai oleh Penolong Kanan SK Kanibongan, Yun Choi Chang.


Menurut Junsim, yang juga Pengerusi Koperasi Kraftangan Kampung Sinukab Kanibongan Berhad, inisiatif ini adalah sebahagian daripada program prihatin yang dilaksanakan oleh UPKO Bahagian Kudat dalam usaha membantu masyarakat setempat.


Beliau menekankan bahawa sumbangan ini diharapkan dapat memberi impak positif kepada para pelajar yang memerlukan prasarana asas untuk pembelajaran.


"Sumbangan ini adalah untuk anak-anak kita yang sedang bersekolah. Dengan ini, kami berharap dapat membantu mengurangkan sedikit beban sekolah yang menghadapi kekurangan kemudahan asas. Walaupun tidak semua masalah dapat diselesaikan, setidak-tidaknya sumbangan ini boleh meringankan sedikit kekurangan yang ada," jelas Junsim.


Majlis penyerahan sumbangan tersebut turut dihadiri oleh beberapa ahli jawatankuasa Bahagian UPKO Kudat, termasuk AJK Bahagian UPKO Kudat, Paul Sakulok, Setiausaha Penganjur, Navine Lorin, Ketua Penerangan, serta Ketua Generasi Muda (GM) UPKO Kudat, Riezol Sidu.


Kehadiran mereka mencerminkan komitmen UPKO dalam mendekati masyarakat dan menyokong inisiatif yang menyumbang kepada kesejahteraan pendidikan di kawasan luar bandar.


Inisiatif ini diharapkan dapat memupuk kesedaran dan keprihatinan yang lebih meluas dalam kalangan masyarakat setempat dan juga memperlihatkan kesungguhan UPKO Kudat dalam memberi sokongan yang berterusan kepada institusi pendidikan di kawasan tersebut.

Comments


bottom of page