UPKO Labuan zahirkan sokongan padu terhadap kepimpinan Ewon sebagai Pengerusi PH Sabah
21 Disember 2024
LABUAN: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Labuan menyatakan sokongan padu terhadap kepimpinan Presiden parti, Datuk Ewon Benedick yang telah dipilih sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah yang baharu bagi penggal 2024 hingga 2026 dalam Mesyuarat Agung PH Sabah pada 1 Disember lalu, menggantikan Datuk Seri Christina Liew, yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, yang telah menjadi Pengerusi PH Sabah sejak 2017.
Sokongan itu dizahirkan oleh Ketua Bahagian UPKO Labuan, Macguel Sagundai George Junior.
Sehubungan itu Macguel mengajak ahli-ahli UPKO serta ahli-ahli dari parti komponen PH iaitu PKR, DAP dan AMANAH agar terus memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada Datuk Ewon Benedick bagi mencerminkan semangat kerjasama utuh dalam kalangan parti komponen PH Sabah.
"PH Sabah sama ada dipimpin PKR, DAP, AMANAH atau UPKO mempunyai tanggungjawab yang sama bagi memastikan masa depan Sabah yang lebih baik dalam Persekutuan Malaysia.
"Apa yang penting adalah semua parti komponen dalam PH Sabah bersatu padu dan fokus dalam menghadapi pilihan raya negeri Sabah yang akan datang dan seterusnya memastikan kemenangan berpihak kepada Pakatan Harapan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Macguel, UPKO bukan lah sekadar parti hiasan dalam Pakatan Harapan.
"Kita adalah parti yang akan berganding bahu seiring dengan parti komponen yang lain dalam merealisasikan konsep Malaysia Madani," katanya.
Comments