UPKO Penampang harus bangkit pastikan kemenangan PRU akan datang: Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

UPKO Penampang harus bangkit pastikan kemenangan PRU akan datang: Ewon


11 Jun 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Para pemimpin dan ahli Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Penampang harus bangkit semula memastikan kemenangan parti itu pada pilihan raya akan datang.


Naib Presidennya Datuk Ewon Benedick berkata, ini penting bagi memastikan parti itu mampu merampas semula kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) Penampang.


“Kalau kita kalah pada masa yang lepas, kita mesti ingat yang kita juga pernah menang. Justeru pada pilihanraya akan datang kita masih boleh menang semula.

“Tidak ada salah bila kalah dalam pilihanraya. Tidak salah menunggu sepenggal lagi untuk dipilih menjadi calon pilihanraya, atau menunggu sepenggal dua lagi sebelum menjadi pemain utama kepada satu permainan yang besar.


“Apa yang salah ialah apabila kita berputus asa dan tidak mahu bangkit untuk meneruskan apa yang kita mulakan dalam parti ini,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tritahunan UPKO Bahagian Penampang, di Dewan Gawir, Kg.Madsiang, di sini, hari ini.


Dalan mesyuarat itu para perwakilan meluluskan sebulat suara usul UPKO bertanding kerusi Parlimen Penampang dalam pilihanraya umum akan datang.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, beliau bersedia membantu UPKO Penampang mengembalikan semula peranan parti itu di Penampang dan beberapa bahagian lain di negeri ini.


“Saya berharap kita dapat meneruskan apa yang telah dimulakan oleh pengasas parti ini pada tahun 1961 dan diteruskan oleh Presiden Kehormat (Tan Sri Bernard Dompok).

“Antara isu yang menjadi faktor kekalahan blok kita pada pilihan raya negeri yang lepas ialah isu pemberian dokumen kepada pendatang asing. Sebenarnya ia hanyalah persepsi dan propaganda yang dibuat oleh banyak parti termasuk yang hari ini duduk dalam kerajaan negeri dan persekutuan.

“Kalau tahun 2020 mereka berkempen mahu menghantar kumpit-kumpit, hari ini mereka mahu memberi kad pengenalan kad digital. Kad digital itu adalah pengenalan yang pernah dicadangkan sebelum ini iaitu Pas Residen Sabah yang kemudiannya ditukar kepada cadangan Pas Sementara Sabah. Saya telah katakan sebelum ini ianya umpama menjilat ke ludah sendiri di pihak blok kerajaan negeri yang ada hari ini,” katanya.


bottom of page