UPKO perlu inspirasi baharu, kata Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

UPKO perlu inspirasi baharu, kata Ewon


Ewon (tiga dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada Donald.

16 Mei 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) memerlukan inspirasi dan motivasi baru bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap parti itu, kata Naib Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick.


Beliau berkata, ini penting bagi menjadikan parti itu pilihan utama rakyat pada pilihan raya akan datang.


“Sekiranya kepimpinan di peringkat bahagian atau daerah menyokong usaha memantapkan kepimpinan parti, satu-satunya yang kita boleh persembahkan ialah rekod kita di Kota Belud khususnya di Kadamaian.



“Saya tidak mencabar kepimpinan siapa-siapa tetapi saya hanya menawarkan kepimpinan saya berasakan rekod saya di Kadamaian. Maka terpulang kepada ahli-ahli kita untuk menterjemahkan keinginan kita untuk memulihkan parti.


“Pada masa yang sama, saya ingin melihat kesatuan dan perpaduan dalam mengurus parti kerana pada akhirnya yang menang ialah parti kita sebab tidak ada perpecahan. Umpama “menarik benang di dalam tepung” tetapi pada masa yang sama ada pembaharuan jika ini dipersetuju,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tritahunan UPKO Bahagian Kota Belud, di Dewan Kadamaian Square, di sini, hari ini.


Mesyuarat itu dirasmikan oleh Timbalan Presiden UPKO Datuk Donald Peter Mojuntin.


Ewon yang menang tanpa tanding seterusnya mengekalkan jawatan Ketua Bahagian UPKO Kota Belud bagi sesi 2022-2025 berkata, parti UPKO dilihat dalam keadaan ‘suram’.


“Mungkin disebabkan pengasas parti kita juga meninggalkan parti suatu ketika dahulu dan ramai pimpinan tertinggi parti termasuk daripada Pemuda, Wanita dan Komulakan turut meninggalkan parti.


“Apa masalahnya? Kalau syarikat GLC buat Audit Forensik mengenai urus tadbir mereka, kita juga perlu buat satu diskusi atau perbincangan seikhlasnya dari hati ke hati selaku pimpinan UPKO untuk mencari puncanya. Jangan nafikan perkara ini kerana ia adalah antara cabaran yang harus kita hadapi,” katanya.


Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, inspirasi yang boleh memberi motivasi atau kekuatan kepada ahli-ahli parti supaya terus kekal dalam parti ialah kepimpinan.


“Undi18 telahpun diluluskan, ini bermakna mereka yang genap 18 tahun ke atas boleh mengundi. Oleh itu kita harus mempersembahkan sesuatu yang boleh ‘laku’ agar parti kita kembali menjadi bualan positif dikalangan rakyat Sabah.


“Inspirasi yang diperlukan oleh ahli-ahli kita itu mungkin boleh datang di Puncak Kinabalu iaitu di Kadamaian kerana tidak ada satupun cawangan di Kadamaian dibubarkan kerana melompat, tidak ada pimpinan bahagian kita meninggalkan parti dan tiada ahli mengumumkan keluar dari UPKO.


“Kita tiada peruntukan atau menandatangani sebarang perjanjian bagi membolehkan mereka kekal dalam parti tetapi mereka masih bersama kita kerana mereka mempunyai inspirasi yang menyebabkan mereka kekal dalam parti.


“Ini boleh menjadi asas apabila kita mahu memimpin parti yang lebih besar. Bila kita menyertai pilihan raya, inilah asas yang perlu kita fikir dan jadikan inspirasi kepada parti seluruh Sabah,” katanya.


Turut hadir Naib Presiden UPKO Datuk Basari Sarikun, ahli-ahli majlis tertingggi, Ketua Pemuda Pusat Felix Joseph Saang dan ketua-ketua bahagian UPKO.



bottom of page