UPKO: PILIHANRAYA UMUM TIDAK BOLEH DIBUAT SELAGI UNDI 18 TIDAK DILAKSANAKANUPKO: PILIHANRAYA UMUM TIDAK BOLEH DIBUAT SELAGI UNDI 18 TIDAK DILAKSANAKAN
top of page
  • nabalunews

UPKO: PILIHANRAYA UMUM TIDAK BOLEH DIBUAT SELAGI UNDI 18 TIDAK DILAKSANAKAN


Nelson W Angang

26 Mac 2021

1. Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak boleh memohon kepada Yang-Dipertuan Agong untuk membubarkan Dewan Rakyat selagi Undi 18 tidak dilaksanakan. Perkara 19(1)(a) Perlembagaan Persekutuan telah pun di wartakan bagi membenarkan rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun keatas untuk mengundi. Saya percaya pihak berkuasa yang berkenaan akan menggunakan alasan Seksyen 1(2) Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang mana menyatakan bahawa seksyen 3 Akta ini hanya akan mula berkuatkuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong melalui pemberitahuan di dalam Warta. Sekyen 3 Akta yang sama menyatakan bahawa pindaan terhadap umur bagi warganegara yang layak mengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun.

2. Suruhanjaya Pilihanraya kelmarin mengumunkan bahawa Undi 18 hanya akan dilaksanakan tahun hadapan. Dari segi Undang-Undang pihak Suruhanjaya dilihat dapat berbuat sedemikian berdasarkan kepada peruntukan dibawah Seksyen 1(2) Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019. Walaubagaimanapun, adalah pandangan saya bahawa prerogatif yang dimaksudkan dibawah Seksyen 1(2) Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 mestilah di gunakan atau dilaksanakan sebelum tamat tempoh penuh sidang Parlimen sekarang atau sebelum Pilihanraya umum dipanggil. Ini adalah kerana prerogatif yang dimaksudkan seharusnya tidak berniat untuk tidak mempunyai suatu tempoh masa khusus kerana Perkara 55(3) Perlembagaan Persekutuan tidak boleh diendahkan.


3. Pihak Suruhanjaya Pilihanraya juga ada menyatakan bahawa cuma terdapat seramai 1.2 juta dikalangan mereka yang berumur 18 sehingga 20 tahun, memberikan gambaran seolah-olah ini adalah jumlah yang tidak besar atau tidak signifikan. Perlu ditekankan bahawa jangan hanya dilihat dari segi berapa jumlah dikalangan kategori ini tetapi yang perlu dihargai adalah terhadap Hak Perlembagaan mereka dikalangan ini yang akan terhalang jika Pilihanraya Umum dibuat sebelum terlaksananya Undi 18. Mungkin bagi pihak Suruhanjaya ianya jumlah yang kecil namun dengan jumlah tersebut ia juga boleh memberi impak yang besar terhadap keputusan Pilihanraya Umum. Seperti yang dilihat oleh seluruh rakyat Malaysia, di dalam kerajaan Persekutuan Sekarang ini, dengan hanya sokongan daripada seorang ahli Parlimen sahaja boleh memberikan kesan besar terhadap legitimasi kerajaan Perikatan Nasional. Oleh yang demikian ianya satu kesilapan untuk memperkecilkan kesan dan impak dalam melaksanakan Undi 18.


4. Jika wujud niat kerajaan Persekutuan atau Perdana Menteri untuk memohon dari Yang di-Pertuan Agong untuk mengadakan pilihanraya umum pada tahun ini atas alasan untuk mendapatkan kestabilan atau menubuhkan kerajaan yang lebih stabil tanpa melaksanakan Undi 18, mereka perlu bersedia terhadap kemungkinan bahawa negara akan menghadapi krisis perlembagaan dan ketidakstabilan yang lebih serius dengan tuntutan-tuntutan kes-kes yang akan dibawa ke Mahkamah mencabar kesahihan dan legitimasi keputusan Pilihanaraya Umum. Adakah ini yang kita mahukan setelah kita melalui dan merasai kesan kestidakstabilan politik di negara kita dari tempoh setahun yang lepas.

5. Jika Suruhanya Pilihanraya benar-benar serius agar Undi 18 dilaksanakan dengan betul maka mereka juga harus menangani cabaran yang amat serius di Sabah iaitu masalah terhadap Pendatang Tanpa Izin (PTI) yang mendapat Kad Pengenalan dan kewarganegaraan melalui cara yang tidak sah. UPKO telah kerap kali membangkitkan perkara ini dalam beberapa siri dialog sebelum ini bersama-sama dengan pihak Suruhanjaya Pilihanraya berkenaan dengan perlaksanaan Undi 18. Walaupun UPKO menyokong penuh untuk melaksanakan Undi 18 namun pada masa yang sama pendirian UPKO adalah agar pihak berkuasa yang berkenaan separti pihak Jabatan Pendaftaran Negara dan pihak Suruhanjaya Pilihanraya haruslah bekerjasama dalam menangani dan mencari suatu mekanisma yang berkesan untuk memastikan bahawa mereka yang didaftarkan secara otomatik sebagai Pengundi adalah benar-benar rakyat Malaysia dan bukannya golongan PTI yang telah mendapat kad pengenalan dan kewarganegaraan mereka secara tidak sah. Ini adalah suatu kekhuatiran yang berasas kerana dalam Suruhanjaya Siasatan diRaja pada tahun 2012 di Sabah (RCI), terdapat bukti-bukti yang dikemukakan yang mana ada dikalangan Pendatang Tanpa Izin (PTI) telah mendapat kad pengenalan secara tidak sah dan juga telah mengundi dalam beberapa pilihanraya umum yang lalu. Tidak dapat ditekankan lagi betapa seriusnya kesan terhadap kedaulatan negara jika masih terdapat dikalangan Pendatang Tanpa Izin yang mendapat kad pengenalan dan kewarganegaraan secara tidak sah didaftarkan sebagai pengundi dan secara langsung terlibat dalam proses pilihanraya negara.

Nelson W Angang

Setiausaha Agung UPKO



bottom of page