UPKO sambut baik RUU Anti Lompat Parti ke DUN Sabah
top of page
  • Wartawan Nabalu News

UPKO sambut baik RUU Anti Lompat Parti ke DUN Sabah



30 Ogos 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyambut baik kenyataan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor bahawa Kabinet Negeri telah bersetuju untuk membawa Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti pada persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam masa terdekat.


Presidennya Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berharap, RUU itu dapat diluluskan dan dikuatkuasakan dengan segera bagi mengelakkan perbuatan melompat parti di peringkat negeri.

 

“UPKO berharap Kerajaan Sabah akan mengambil segala langkah bagi memastikan RUU itu menjadi kenyataan semasa sidang DUN akan datang tanpa sebarang kelewatan.

 

“Kami berpandangan bahawa langkah membawa RUU itu ke DUN Sabah amat penting selaras dengan tindakan yang telah diambil oleh Parlimen Malaysia baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata, RUU itu penting bagi mengekalkan kestabilan politik di negeri ini.

 

“Meskipun DUN kemungkinan tidak akan dibubarkan apabila Parlimen dibubarkan, namun keperluan untuk mengadakan undang-undang melarang lompat parti amat penting di peringkat Negeri Sabah.

 

“Oleh itu, UPKO berharap Kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan kesemua parti utama di Sabah apabila membawa RUU ini ke DUN,” katanya.

 

Pada Ahad lalu, Hajiji berkata kerajaan negeri akan membentangkan RUU pindaan perlembagaan berkaitan anti lompat parti pada persidangan khas DUN dalam masa terdekat.


Katanya, Kabinet Negeri sudah bersetuju untuk membawa perkara itu ke Persidangan DUN selepas Dewan Rakyat meluluskan pindaan perlembagaan yang menghalang wakil rakyat bertukar parti, baru- baru ini.


Hajiji berkata, langkah itu sejajar komitmen kerajaan negeri untuk mewujudkan kestabilan politik di Sabah setelah sekian lama berdepan keadaan politik yang tidak menentu.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page