UPKO santuni wanita warga emas sukar bergerak di Sook
10 Disember 2024
SOOK: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) meneruskan pelayanan di peringkat akar umbi dengan menziarahi dan menyantuni seorang wanita warga emas di Kampung Salir, Sook yang patah kaki kanan dan kini lumpuh dan hanya mampu bergerak dengan bantuan sebatang tongkat akibat kemalangan jalanraya, 15 tahun lalu.
Prihatin dengan penderitaan dialami Raliah Mongolong, 74, ibu kepada enam orang anak yang kini sukar bergerak selepas dia dirempuh sebuah kenderaan ketika melintas jalan dalam perjalanan pulang selepas menghadiri satu acara keagamaan di daerah Ranau kira-kira 15 tahun yang lalu, Pergerakan Wanita UPKO Sook menyantuni Raliah di kediamannya.
Selain beramah mesra dan bertanya khabar, Wanita UPKO Sook turut menyampaikan bantuan bakul makanan kepada wanita ini.
Seminggu yang lalu, UPKO N.45 Sook menyampaikan sebuah kerusi roda sumbangan Yayasan Bank Rakyat (YBR) untuk memudahkan pergerakan Raliah menjalani kehidupan seharian.
Raliah mengucapkan jutaan terima kasih kepada UPKO diatas inisiatif untuk membantunya.
"Tahniah kepada pejuang pejuang wanita UPKO Sook yang diketuai oleh Rosanna Edeza, Matha Odoi, Harmah Mohamad, Ketua Generasi Muda UPKO Sook, Frensilajane Meringking serta seluruh ahli parti di Kampung Salir, Sook yang konsisten dalam perjuangan. Kerja keras anda sepastinya ada balasan," kata Ketua Jawatankuasa Perhubungan Kawasan (CLC) UPKO Sook, Mohd Khairy Abdullah @ Henry.
Comments