UPKO siap siaga hadapi PRN akan datang pastikan kerusi DUN Kadamaian kekal

17 Oktober 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA BELUD: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kota Belud sudah bersiap siaga menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Sabah akan datang bagi memastikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian terus dipertahankan.
Pengarah Jentera Pilihan Raya DUN Kadamaian Carlye Lajimin berkata, walaupun kawasan itu menjadi kubu kuat UPKO selama ini namun usaha mendekati rakyat akar umbi terus diperkasakan.
“Selepas PRN Sabah yang lalu, kita telah memulakan gerak kerja di kawasan Kadamaian dengan mengadakan pelbagai program kemasyarakatan, peningkatan ekonomi dan turun padang membantu rakyat yang memerlukan bantuan,” katanya.
Carlye berkata, setakat ini UPKO Kota Belud mempunyai 110 cawangan dengan jumlah keahlian hampir 8,000 orang.
“Selain aktif mengadakan program turun padang mendekati rakyat, usaha menambah keahlian juga akan terus dilipatgandakan bagi memperkukuhkan lagi kekuatan parti,” katanya.
Carlye berkata: “Kita tidak gentar siapa saja pencabar pada PRN akan datang dan mengalu-alukan parti yang ingin kerjasama bagi kawasan DUN Kadamaian”.
Commentaires