UPKO suarakan bantahan secara aman, isu kenaikan harga barang
25 Julai 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
TAMPARULI: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyuarakan bantahan secara aman terhadap isu kenaikan harga barang yang menurut mereka telah menambah derita kehidupan harian rakyat.
Presiden UPKO Datuk Wilfred Madius Tangau berkata, krisis ekonomi dengan kenaikan harga barang yang melambung tinggi, kadar pelaburan yang merudum dan kadar inflasi meningkat yang memungkinkan kenaikan kadar pinjaman seperti di Amerika Syarikat boleh menyumbang ke arah bermulanya kemelesetan ekonomi.
Sebab itu katanya UPKO Tuaran sebulat suara meluluskan usul menangani Kos Sara Hidup agar semua pemimpin dan ahli parti itu sama-sama bangkit mendesak kerajaan segera mengambil langkah menurunkan harga barang.
“Kebangkitan rakyat boleh membantu menghalang tindakan sewenang-wenang pihak peniaga yang mengambil keuntungan tidak adil dan tidak berpatutan,” katanya pada Mesyuarat Agung Tritahunan UPKO Bahagian Tuaran, di sini, kelmarin.
Sementara itu Ketua Pergerakan Wanita UPKO Tuaran Lomiti Jahan ketika menyampaikan usul Menangani Kos Sara Hidup Rakyat, berkata usul itu penting kerana Malaysia telah mengalami kejatuhan ekonomi yang sangat teruk.
“Dalam fenomena global dinyatakan bahawa ekonomi negara kita mengalami gangguan yang tidak pernah dilalui sebelum ini disebabkan penularan Covid-19 dan jika kemelesetan berlaku pasti memberi impak sangat buruk.
“Selain itu, peningkatan harga bahan mentah seperti ikan dan ayam membimbangkan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah. Begitu juga dengan kenaikan harga keperluan asas pertanian seperti baja dan racun rumpai.
“Semua barangan ini dengan tiba-tiba sahaja harga melonjak naik, perkara ini memberi tekanan kepada mereka,” katanya.
Sehubungan itu katanya ada keperluan mendesak campur tangan pihak kerajaan dalam menangani masalah tersebut dengan meneliti semula beberapa dasar seperti industri agromakanan negara supaya ia memberi kesan lebih efektif.
“Maka, saya mencadangkan agar usul ini disokong penuh supaya kerajaan dapat mencari resolusi untuk mengatasi masalah kenaikan harga barang.
“Kita juga minta supaya pihak kerajaan serius menangani kenaikan harga barangan dan menurunkan kembali harga kepada harga mampu milik semua golongan masyarakat,” katanya.
Commentaires