top of page
nabalunews

UPKO Terus Kukuh Dengan Perasmian Cawangan Baharu di Kampung Tukar

7 Disember 2024


KUDAT: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) terus melangkah maju dalam usaha memperkukuhkan parti dan mendekati masyarakat di peringkat akar umbi melalui perasmian cawangan baharu di Kampung Tukar, di sini, yang terletak dalam kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pandan Mandamai, pada Khamis.


Majlis itu dirasmikan oleh Ketua Bahagian UPKO Kudat, Junsim Rumunzing, dengan kehadiran seramai 70 orang penduduk tempatan yang mencerminkan komitmen UPKO untuk terus memperjuangkan isu-isu tempatan serta memastikan suara rakyat terus didengari di peringkat negeri dan nasional.


Dalam ucapannya, Junsim antara lain menekankan bahawa langkah ini adalah strategi penting bagi memantapkan lagi hubungan antara parti dan komuniti di kawasan luar bandar, sambil memberikan peluang kepada masyarakat setempat untuk melibatkan diri secara aktif dalam politik dan pembangunan setempat.


Antara aktiviti di majlis perasmian itu ialah penyampaian bantuan berupa beras kepada warga emas, yang menjadi simbol usaha UPKO dalam menyantuni golongan memerlukan dan sebagai manifestasi sokongan parti kepada rakyat, khususnya golongan kurang berkemampuan.


Dalam uucapannya juga, Junsim turut menekankan pentingnya memberi sokongan padu kepada calon UPKO pada pilihan raya akan datang.


Beliau meminta penduduk untuk tidak mengulangi kesilapan lalu yang memilih pemimpin yang gagal menunaikan janji pembangunan kepada masyarakat.


“Sudah tiba masanya untuk memberi peluang kepada pemimpin yang benar-benar komited untuk membawa perubahan kepada kawasan ini. UPKO bukan sekadar parti politik, tetapi sebuah gerakan untuk memperjuangkan hak dan kesejahteraan rakyat,” tegasnya.


Junsim turut menggesa penduduk agar terus memberikan kepercayaan kepada Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.


Katanya pemilihan Ewon sebagai Pengerusi Pakatan Harapan Sabah yang baharu pada 1 Disember lalu, dianggap sebagai pengiktirafan terhadap kebolehannya sebagai pemimpin.


“Pemilihan ini adalah peluang terbaik untuk memastikan suara rakyat Sabah lebih jelas didengar di peringkat nasional,” tambah Junsim, sambil menegaskan bahawa kerjasama dalam Pakatan Harapan dapat memperkukuhkan usaha pembangunan di negeri ini.


Majlis itu turut dihadiri oleh beberapa pemimpin UPKO, termasuk Paul Sakulok selaku Setiausaha Penganjur dan Daniel Mosikul sebagai Ketua PDM Pandan Mandamai.


Junsim menyatakan keyakinan bahawa cawangan Kampung Tukar akan menjadi titik tolak kepada pembangunan yang lebih menyeluruh di kawasan tersebut.


"UPKO berazam untuk terus memperjuangkan hak rakyat di kawasan yang selama ini terpinggir daripada arus pembangunan. Cawangan baharu ini diharapkan mampu menjadi pemangkin kepada strategi pembangunan yang lebih inklusif, sesuai dengan visi UPKO untuk menjadikan Sabah lebih makmur dan progresif," katanya.

Commentaires


bottom of page