UPKO Tuaran luluskan tujuh usul termasuk usul penyukatan tanah PANTAS
top of page
  • Wartawan Nabalu News

UPKO Tuaran luluskan tujuh usul termasuk usul penyukatan tanah PANTAS


Madius (tiga dari kiri) menerima borang keahlian UPKO dari tiga cawangan di Sulaman.

25 Julai 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


TAMPARULI: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Tuaran meluluskan tujuh usul pada Mesyuarat Agung Tritahunan parti itu.


Usul-usul itu ialah Kepimpinan Pakatan Harapan (PH) Sabah, Pewartaan Tanah-Tanah Kampung di Kawasan Tuaran, Usul Meneruskan Sistem Penyukatan Tanah PANTAS, Penyelesaian Masalah Perkampungan Mengkabong, Penyelesaian Isu Pendatang Asing Mengikut Kategori, Peralihan Kepimpinan UPKO Malaysia dan Usul Menangani Kos Sara Hidup.


Ketika membentangkan usul mengenai penyukatan tanah PANTAS, Amandus Juanis berkata, dengan mengambil kira permintaan ramai, melalui keluhan-keluhan, pertanyaan dan maklumbalas penduduk kawasan Tuaran, mereka mengharapkan agar Program PANTAS diteruskan.


Beliau berkata, ini penting kerana pemilikan tanah yang sah dan bergeran amat bermakna kepada mereka yang menjalankan aktiviti pertanian.



“Kita telah menyaksikan banyak rumah yang dirobohkan, tanaman bernilai dimusnahkan apabila orang lain mendapat hak pemilikan sesuatu lot tanah yang telah didiami dan diusakan oleh orang lain tanpa pemilikan geran.


“Atas keprihatinan UPKO selaku peraju perjuangan rakyat, saya mencadangkan supaya UPKO mendesak kerajaan meneruskan Program PANTAS untuk menangani masalah pengeluaran geran di Sabah.


“Kerajaan Negeri juga harus menyelesaikan semua permohonan tanah melalui PANTAS yang telah dihantar kepada Jabatan Tanah dan Ukur sebelum ini,” katanya ketika menyampaikan usul itu pada Mesyuarat Agung Tritahunan UPKO Tuaran, di sini, kelmarin


Amandus berkata, kebanyakan tanah pertanian di Sabah khususnya di Tuaran masih belum bergeran walaupun telah diusahakan beberapa generasi.


“Proses permohonan tanah sehingga pengeluaran geran juga mengambil masa yang terlalu lama. Amat menyedihkan ramai di kalangan pemohon tanah tersebut tidak sempat melihat geran tanah yang mereka usahakan sepanjang hayat mereka,” katanya.


Katanya lagi, atas usaha Ahli Parlimen Tuaran Datuk Wilfred Madius Tangau pada penghujung tahun 2017, sebanyak 11 kampung telah melengkapkan semua prasyarat untuk permohonan program PANTAS dan telah dihantar ke Jabatan Tanah dan Ukur untuk tindakan lanjut iaitu kampung Kelawat, Tapatau/Linasadan, Rungus Panansawa, Tomis Lama, Simpangan Lama, Tiong Gondohon, Tiong Karanaan, Bundu Tohuri, Bundu Rantai, dan Pahu, melibatkan permohonan 3,204 lot tanah.


“Dari segi rekod pencapaian, setakat penghujung 2020, sebanyak 2,141 lot tanah telah disukat dan 1,043 geran tanah sudah siserahkan kepada pemilik manakala 820 masih dalam proses pengeluaran geran.


“Bagi kawasan Tamparuli kita difahamkan bahawa lapan buah kampung di Mukim Tenghilan telah selesai proses penyukatan. Pendekatan PANTAS terbukti keberkesanannya dalam menangani kelewatan dan masalah berkaitan proses permohonan tanah dan pengeluaran geran,” katanya.



photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page