Usahawan INSKEN catat jualan RM2.6 juta, cipta 192 pekerjaan baharu: Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Usahawan INSKEN catat jualan RM2.6 juta, cipta 192 pekerjaan baharu: Ewon


Ewon bergambar bersama sebahagian daripada ushawan yang berjaya menamatkan program bimbingan INSKEN 2023.

21 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


BANGI: Program Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) Bumiputera Business Coaching (IBBC) dan Start-Up Coaching (STC) 2023, berjaya mencatatkan peningkatan hasil jualan RM2.6 juta dan mencipta 192 peluang pekerjaan baharu.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, program INSKEN Start-Up Coaching yang dilaksanakan selama enam bulan dan Program IBBC empat bulan disertai 135 usahawan.


“Program IBBC terbahagi kepada industri kafe & restoran, bakeri serta pencetakan dan servis berkaitan disertai oleh usahawan yang telah menjalankan perniagaan minimum dua tahun ke atas serta aktif beroperasi.


Ewon ketika berucap pada majlis itu.

“Manakala Program INSKEN Start-Up Coaching Bakeri pula disertai usahawan permulaan yang menjalankan perniagaan sekurang-kurangnya enam bulan sehingga dua tahun,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi Program Bimbingan INSKEN 2023, di Hotel Tenera, Bangi, di sini, malam tadi.


Ewon berkata, selain berjaya meningkatkan hasil jualan dan mencipta peluang pekerjaan baharu, program itu juga berjaya menukar status perniagaan daripada kategori mikro kepada perniagaan kecil.


Ewon (dua dari kanan) menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta, turut kelihatan Zambri (dua dari kiri) dan Firdaus (kanan).

“Seramai 12 usahawan berjaya meningkatkan hasil jualan sehingga bertukar status perniagaan daripada kategori mikro kepada kecil, dimana nilai purata jualan selepas program adalah sebanyak RM400,000.


“Kejayaan program ini bukan sahaja melalui wang ringgit yang dihasilkan tetapi peluang-peluang pekerjaan telah dicipta.


“Dalam keadaan ekonomi yang amat mencabar, saya bangga melihat kejayaan para peserta program bimbingan INSKEN,” katanya.



Beliau berkata, ini memberikan impak positif kerana bukan sahaja berjaya meningkatkan perniagaan tetapi memberi impak kepada masyarakat dari segi peluang pekerjaan.


“Tahniah kepada INSKEN kerana berjaya menganjurkan program seumpama ini yang memberikan banyak manfaat kepada usahawan terutamanya dalam meningkatkan hasil jualan dan memajukan perniagaan,” katanya.


Ewon turut mengingatkan para usahawan supaya terus cekal, kreatif, inovatif dan berdaya saing dalam memajukan perniagaan.





bottom of page