USAHAWAN OKU TERPAKSA JUAL ARNAB TAMPUNG KERUGIANUSAHAWAN OKU TERPAKSA JUAL ARNAB TAMPUNG KERUGIAN
top of page
  • Wartawan Nabalu News

USAHAWAN OKU TERPAKSA JUAL ARNAB TAMPUNG KERUGIAN


Keadaan perabot pusat itu yang mengalami kerosakan.

21 OKTOBER 2020

Oleh Wartawan Nabalu News

KOTA KINABALU: Pengusaha Pusat Latihan dan Amal Orang Kurang Upaya (OKU) Sabah yang terletak di Tuaran, kini terpaksa menjual arnab bagi menampung kerugian pusat perabot itu yang musnah akibat banjir kilat baru-baru ini.


Pengasasnya, Haji Azman Saidin, 38, berkata pusat itu mengalami kerugian sekitar RM50,000 termasuk kerosakan perabot yang sudah siap dan telah ditempah oleh pelanggan.

Azman

Sehubungan itu beliau memohon sumbangan ikhlas daripada orang ramai terutama golongan dermawan untuk membantu mereka membina semula pusat perabot itu.

“Kesemua pekerja di pusat ini terdiri daripada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU),” katanya dan menambah pusat perabot yang terletak di Kg.Selaud Tuaran itu diwujudkan dua tahun lalu bagi memberi latihan dan peluang pekerjaan terutama kepada golongan OKU.

Bagaimanapun katanya, pusat perabot itu kini mengalami kerosakan teruk dan menghadapi masalah kewangan untuk memulihkan semula perniagaan mereka.

“Apa yang menyedihkan, ada pelanggan yang sudah membuat tempahan untuk perabot itu meminta bayaran balik.

"Sebab itu, saya terpaksa menjual arnab saya iaitu salah satu projek keusahawanan “Taman Pencinta Haiwan” yang saya usahakan dua tahun lalu untuk menampung kos kerugian.

"Ini kali kedua pada tahun ini, pusat perabot kami mengalami kerosakan akibat banjir kilat … Kami amat memerlukan sumbangan bagi membolehkan kami memulakan semula perniagaan ini dan membina semula perabot-perabot pelanggan kami," katanya ketika dihubungi Nabalu News, semalam.

PERABOT rosak teruk akibat banjir kilat.

Selain kerosakan perabot, barang-barang lain di pusat itu seperti mesin dan barang keperluan harian mereka turut mengalami kerosakan.

“Pusat ini bukan sahaja sebagai tempat membuat perabot tetapi juga rumah kami sekeluarga iaitu bapa saya yang berusia 85 tahun dan anak perempuan saya, tujuh tahun dan enam pekerja OKU yang lain.

“Keperluan dalam rumah seperti makanan, penapis air dan tempat tidur kami juga rosak akibat banjir. Sekarang kami kehilangan segalanya dan rumah kami masih ditutupi lumpur, kami tidak mempunyai pilihan selain menyewa homestay untuk penginapan sementara.

“Dengan larangan perjalanan antara daerah, tidak ada yang dapat membantu kami membersihkan rumah dan pusat perabot itu, walaupun ramai orang ingin membantu.

“Kami tidak meminta-minta atau mengharapkan bantuan daripada orang ramai untuk membersihkan rumah kami tetapi, apakan daya, tidak banyak yang dapat kami lakukan kerana kebanyakan kami cacat secara fizikal,” kata Azman.

Menurutnya, laporan polis mengenai kerosakan perabot di pusat itu telah dibuat pada 8 Oktober lalu.

Mengimbas kejadian tahun 2013, Azman terlibat dalam kemalangan di tempat kerja dan mengalami penggantian lutut. Sejak itu, beliau terpaksa menggunakan tongkat untuk membantunya berjalan.

Menjadi OKU memaksanya untuk menghentikan perkhidmatannya sebagai paramedik.

Beliau juga merupakan bapa tunggal kehilangan isterinya semasa melahirkan anak perempuan mereka.

Orang ramai yang ingin menderma boleh menghulurkan sumbangan ke Pusat Latihan (Amal) melalui akaun Maybank Amali OKU Sabah (560072580310).

Azman juga boleh dihubungi melalui nombor telefonnya 014-3628585.

bottom of page