Usahawan wanita mahu liputan internet dipertingkat Usahawan wanita mahu liputan internet dipertingkat
top of page
  • Writer's pictureMarryan Razan

Usahawan wanita mahu liputan internet dipertingkat


Pengurus Excellent Skill Academy, Stella Matuya

30 Oktober 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Wanita khususnya usahawan dan suri rumah menyambut baik pengumuman bajet khusus untuk wanita namun masih banyak yang perlu dipertingkatkan terutamanya liputan internet di Sabah.


Pengurus Excellent Skill Academy (ESA) Stella Matuya berkata, ini penting kerana capaian internet yang bagus dapat membantu usahawan-usahawan wanita mengurus perniagaan secara online.


“Program Mykasih Kapital untuk menggalakkan wanita menjana pendapatan dari rumah terutamanya perniagaan secara dalam talian amat baik.


“Ramai pelajar saya (Excellent Skill Academy) daripada e-Kasih memulakan perniagaan secara online dan sudahpun mendapat pendapatan dari rumah,” katanya kepada Nabalu News, hari ini.


Bagaimanapun Stella berkata, liputan internet yang lemah khususnya di kawasan luar bandar menyukarkan mereka menjalankan perniagaan secara online.


"Pada masa kini pemasaran perniagaan semakin berubah ekoran pandemik Covid-19, kebanyakan peniaga beralih kepada perniagaan atas talian.


"Oleh itu kerajaan perlu mempertingkatkan liputan capaian internet di seluruh Sabah selain memberikan dana pinjaman kepada usahawan wanita bagi membantu perniagaan secara online kerana masih banyak kawasan di negeri ini tidak mempunyai liputan internet yang baik.


“Contohnya semalam kami mengadakan latihan atas talian tetapi ramai yang tidak dapat menyertainya kerana masalah internet," katanya.


Beliau berkata, latihan atas talian itu diadakan secara berterusan untuk membantu bekas-bekas pelajar ESA yang menjalankan perniagaan secara dalam talian.


Sementara itu Florieta Diet turut menyambut baik dana pembiayaan untuk membantu usahawan wanita yang terkesan akibat Covid-19.


Katanya ia amat baik bagi memulihkan semula serta meningkatkan perniagaan mereka.


“Ramai usahawan wanita terkesan Covid, tidak dapat membuka perniagaan, kurang pendapatan dan tidak kurang juga yang terpaksa menutup perniagaan kerana mengalami kerugian dan paling terkesan ialah ibu tunggal yang menyara keluarga mereka.


“Melalui dana itu, usahawan wanita terutamanya ibu tunggal dapat memulihkan perniagaan mereka dan menjalankan perniagaan secara online dari rumah,” katanya.


Pada Jumaat, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tungku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat berkata, kerajaan akan menyediakan sejumlah RM230 juta dana pembiayaan untuk membantu usahawan wanita yang terkesan akibat Covid-19 bagi meningkatkan kapasiti perniagaan.


Kerajaan juga akan melaksanakan Program MyKasih Kapital untuk menggalakkan wanita menjana pendapatan dari rumah.


“Insentif dalam bentuk bantuan asas modal perniagaan akan diberikan di samping program bimbingan bagi menggalakkan perniagaan secara dalam talian. Sebanyak 5,000 peserta termasuk 2,000 ibu tunggal akan meraih manfaat daripada program ini,” katanya.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page