top of page
nabalunews

Ustaz Ustazah Dot Com Sdn Bhd terus perkasa Pusat Nadi Al Quran (NAQ) Kampung Bahagia Sandakan




25 Oktober 2024


SANDAKAN: Pusat Nadi Al Quran (NAQ) Kampung Bahagia, Jalan Batu Sapi, Sandakan menerima sumbangan bernilai RM60,000 daripada Ustaz Ustazah Dot Com Sdn Bhd (ustazustazah.com) bagi menaiktaraf kemudahan asas di kelas pengajian NAQ di kampung berkenaan.

Sumbangan itu disampaikan pada Program Tautan Kasih Inteam ke Pusat Nadi Al Quran, Kampung Bahagia, Batu Sapi, Sandakan, pada Khamis.


Sumbangan disampaikan oleh Pengarah Urusan Qudwah Group, Abdul Rahman Mohamed kepada Penyelaras ustazustazah.com, Mohd Fakhrur Razi Mohd Yunos.


Antara kemudahan itu termasuk penghawa dingin, kipas, lampu, alas meja, mesin pencetak, lantai kelas dan lantai tangki air, cat kelas dan cat pagar serta beberapa kemudahan lain.


Juga disampaikan sumbangan berjumlah RM40,000 kepada pusat NAQ Kampung Kipopogong, Mukim Gana, Kota Marudu untuk menaiktaraf Masjid Al Hijrah Gana di kampung itu dan RM30,000 lagi untuk menaiktaraf bangunan Pembangunan Kemanusiaan Kanak-Kanak (PPKK) Pulau Jampiras di Sandakan.


Program tersebut turut dihadiri, Penolong Pengarah II, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Wilayah Sandakan, Kapten Mohd Azham Mat Yacob, Timbalan Pegawai Agama (Dakwah), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Daerah Sandakan, merangkap Ketua Belia, Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Bahagian Sandakan, Mohamad Sufan Bahrin dan Eksekutif Kanan Yayasan Ikhlas, Endi Hatta.


Pada majlis sama, ahli kumpulan nasyid Inteam selaku Ikon ustazustazah.com juga hadir dan turut menyampaikan beberapa lagu mereka selain ke Pulau Jampiras bagi menyaksikan perkembangan PPKK di pulau itu.


Pihak ustazustazah.com menyatakan, usaha pembangunan NAQ akan terus diperluaskan di Borneo dan meletakkan sasaran untuk menyediakan seramai 100 orang Guru Al Quran dan melahirkan lebih 4,000 pelajar Celik Al Quran daripada kalangan asnaf dan keluarga kurang berkemampuan.


Kelas di NAQ di Kampung Bahagia Sandakan bermula pada awal April 2022 di kediaman seorang guru di Lorong B kampung itu dengan jumlah pelajar seramai 14 orang.


Kini ia telah berkembang dan mempunyai seramai 854 pelajar dan 13 orang guru Al Quran dengan kelas baharu juga dibuka bagi menampung keperluan semasa di kawasan perkampungan itu.


Pengajian Al Quran di NAQ adalah 100 peratus percuma dan ditanggung sepenuhnya oleh ustazustazah.com.


Pihak ustazustazah.com juga menyatakan rasa syukur kerana mendapat sokongan dan kerjasama yang amat baik daripada MKN Wilayah Sandakan dimana sejak awal penubuhan NAQ di kawasan tersebut, MKN juga memberi keizinan menggunakan kemudahan di PPKK Kampung Bahagia Sandakan sebagai kelas pengajian Al Quran pada sesi petang.

Comentarios


bottom of page