Waktu bekerja 42 jam pastikan kualiti perkhidmatan kesihatan awam kekal terbaik – CUEPACS
- nabalunews
- Jul 12, 2025
- 1 min read

12 Julai 2025
KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan mengekalkan waktu bekerja syif kepada 42 jam bagi 82,637 petugas kesihatan dalam lima skim perkhidmatan kritikal Kementerian Kesihatan Awam (KKM) akan memastikan kualiti perkhidmatan kesihatan awam kekal pada tahap terbaik.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Dr Adnan Mat, berkata dalam masa sama langkah itu juga akan membantu menjaga tahap kesihatan fizikal, mental dan emosi petugas kesihatan terbabit.
Beliau turut menyifatkan keputusan itu selari dengan semangat Malaysia MADANI yang mengutamakan nilai ihsan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat serta penjawat awam.
"Keprihatinan dan tindakan responsif ini menunjukkan bahawa kerajaan mendengar dan memahami kebimbangan yang disuarakan oleh kesatuan sekerja serta petugas kesihatan yang bertugas di barisan hadapan menyelamatkan nyawa rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Adnan turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan kerana terus memberi ruang kepada rundingan dan suara kesatuan sekerja dalam membuat keputusan dasar berkaitan perkhidmatan awam.
"Kami akan terus komited memperjuangkan kebajikan penjawat awam selaras aspirasi negara," katanya.
Semalam, kerajaan bersetuju memberi pengecualian terhadap pelaksanaan waktu bekerja syif 45 jam seminggu kepada lima skim perkhidmatan kritikal KKM dengan mengekalkan waktu bekerja kepada 42 jam seminggu.
Pengecualian itu melibatkan 82,637 petugas kesihatan merangkumi jururawat, jururawat masyarakat, pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan, penolong pegawai perubatan serta pembantu perawatan kesihatan.















Comments