Wanita ditahan cederakan kanak-kanak guna pisau
- nabalunews
- Feb 16
- 1 min read

16 Februari 2025
TAWAU: Seorang wanita ditahan selepas disyaki mencederakan kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun menggunakan pisau dalam kejadian di kawasan Perumahan Rakyat (PPR) Batu 8, Jalan Apas, Khamis lalu.
Wanita berusia 43 tahun itu berjaya ditahan sepasukan polis kira-kira jam 3.30 petang, di kawasan perumahan berkenaan, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian disedari apabila ibu saudara mangsa dihubungi oleh ibu mertuanya.
Katanya, menurut laporan diterima, mangsa ditemui dalam keadaan berlumuran darah di tangan dipercayai diserang oleh suspek.
"Mangsa mengalami luka di bahagian tangan kirinya ketika cuba mengelak daripada ditikam oleh suspek.
“Bagaimanapun mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Tawau,"katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jasmin berkata, siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai sebarang hubungan dengan mangsa dan motif sebenar serangan masih dalam siasatan.
Katanya, suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan senjata berbahaya
Sehubungan itu, Jasmin meminta orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan pihak polis, berkaitan insiden berkenaan.
Comentarios