Wanita UPKO hargai penerimaan rakyat Penampang terhadap Ewon

9 November 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
PENAMPANG: Kemasukan ramai ahli baharu ke dalam Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menunjukkan parti itu dan Pakatan Harapan semakin mendapat tempat di hati para pengundi kawasan Penampang, kata Ketua Wanita Bahagian UPKO Penampang Felimena Andreas.
Beliau berkata, setakat hari ini lebih 1,500 ahli baharu daripada pelbagai parti termasuk Warisan dan Star menyertai UPKO Penampang seterusnya menyatakan sokongan kepada calon Pakatan Harapan Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick.

“Ramai ahli Upko yang sebelum ini menyokong parti-parti lain kini kembali semula ke dalam Upko dan memberikan sokongan padu kepada Ewon.
“Di kawasan Babagon, hampir 100 ahli baharu dari pelbagai parti menyertai UPKO dan satu cawangan baharu diwujudkan di Kg.Sosopon Notorus,” katanya.
Felimena menjangkakan lebih ramai lagi menyertai parti itu dalam masa terdekat kerana keyakinan mereka terhadap kepimpinan dan hala tuju UPKO yang kini dalam gabungan PH.

Pada Isnin, mantan Ahli Parlimen Penampang Paul Nointien turut menyertai UPKO dan mengisytiharkan sokongan beliau kepada Ewon.
Beliau menyerahkan borang keahlian menyertai UPKO kepada Ewon di rumah kediaman beliau di Putatan bersama-sama dengan 1288 orang yang turut memohon menjadi ahli parti.
Tiga cawangan Parti Warisan di Babagon turut dibubarkan, kesemua ahli menyertai UPKO.
Commenti