Wanita UPKO yakin Bendera Parti Berkibar Pada PRN17
- nabalunews
- Sep 2
- 1 min read

1 September 2025
KOTA KINABALU: Jawatankuasa Penerangan Exco Wanita Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menggesa agar parti menggunakan bendera dan logo UPKO dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) kali ini.
Ketuanya, Ferlita Ubara berkata, penggunaan bendera parti UPKO merupakan satu keputusan yang penting dalam memperkukuhkan pendirian politik, identiti perjuangan dan kesinambungan usaha UPKO di peringkat akar umbi.
Katanya, bendera UPKO adalah simbol perjuangan dan identiti rakyat Sabah serta melambangkan kesungguhan parti memperjuangkan hak rakyat tanpa kompromi.
“Wanita UPKO melihat langkah ini sebagai satu keperluan mutlak, bukan sekadar cadangan.
“UPKO konsisten bekerja bersama rakyat dengan membawa bendera dan logo parti sebagai tanda pengenalan yang kukuh.
Justeru, kesinambungan penggunaan simbol ini pada PRN17 amat penting kerana rakyat melihat konsistensi UPKO dalam mendekati mereka,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sehubungan itu, Ferlita memohon agar seluruh kepimpinan dan ahli bersatu teguh di bawah bendera UPKO kerana PRN17 adalah medan penting untuk memperlihatkan kekuatan sebenar parti kepada rakyat.
Sementara itu, pandangan itu turut diperkukuhkan hasil maklumbalas dalam kalangan ahli-ahli wanita di peringkat akar umbi yang menilai bendera UPKO sebagai simbol keyakinan dan peneraju perjuangan rakyat.
Ketua Cawangan UPKO Pekan Telupid, Rosena Kuduas, berkata masyarakat di peringkat akar umbi telah mengenali dan menerima bendera UPKO sebagai lambang perjuangan dan penggunaan lambang lain hanya akan menimbulkan kekeliruan.
Manakala, bagi Beatrice Tangilan dari Kampung Malagatan Kecil, Daerah Tongod, Kuamut pula menegaskan, logo UPKO bukan sekadar simbol tetapi bukti kesungguhan dan konsistensi perjuangan parti.
“Ia menjadi tanda jelas bahawa UPKO sentiasa berdiri bersama rakyat,” katanya.


















Comments