Warga Emas Hilang Ditemui Meninggal Dunia di Bawah Jambatan
- nabalunews
- 41 minutes ago
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
20 Mei 2026
TAMBUNAN: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang sejak dua hari lalu ditemui meninggal dunia di bawah Jambatan Nauduh, Kampung Nauduh, pada pagi hari ini.
Mangsa dikenal pasti sebagai Markus @ Marchous Antigang, 74 tahun, ditemukan pada jam 9.42 pagi oleh anaknya bersama penduduk kampung. Mayatnya berada di kawasan sungai tempat operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mitchell Francis George, berkata operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 10 pagi atas arahan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sebelum itu, mangsa dikhuatiri hilang selepas keluar dari rumah pada petang Isnin, 18 Mei, kira-kira jam 4 petang, untuk menjala ikan di Sungai Pagalan berhampiran Kampung Nouduh dan tidak kembali.
Pasukan BBP Tambunan menerima panggilan kecemasan pada jam 8 pagi Selasa, dan tiba di lokasi kejadian dalam jarak tiga kilometer pada jam 8.34 pagi. Operasi SAR menggunakan kaedah 'Water Surface Searching' merentasi radius 9.7 kilometer sepanjang sungai.
Seramai 12 anggota BBP Tambunan, dua anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Tangaban, tujuh anggota Bomba Komuniti Kampung Rompon, serta bantuan daripada PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dan kakitangan Lobou-Lobou Resort yang turut menyediakan bot rafting untuk memperluas kawasan pencarian.















Comments