Warga Emas Hilang Sejak Semalam Ditemui Meninggal Dunia
- nabalunews
- Oct 3
- 1 min read

3 Oktober 2025
KOTA BELUD: Seorang warga emas yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah untuk ke kebun, semalam, ditemui meninggal dunia, hari ini.
Mangsa yang dikenali sebagai Sami Biu, 92 tahun ditemui meninggal dunia di tepi sungai, kira-kira 19 kilometer dari rumahnya di Kampung Sogo Narinang, di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.40 malam.

Katanya, sepasukan lima anggota bersama sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah pacuan empat roda (Vigo) terus digerakkan ke lokasi dengan bantuan polis untuk membantu.
“Setibanya di lokasi, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan di kawasan kebun yang sering dilalui mangsa.
“Namun, pencarian pada malam itu tidak menemui sebarang petunjuk dan operasi ditangguhkan pada jam 9.22 malam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, operasi SAR disambung semula pada jam 7 pagi tadi dengan tumpuan sekitar kampung dan laluan berhampiran sungai.
“Hasil pencarian bersama penduduk kampung berjaya menemui mangsa pada jam 7.43 pagi di tepi sungai, kira-kira 19 kilometer dari rumahnya,” katanya.
Elge berkata, mangsa kemudian diangkat menggunakan stretcher sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.54 pagi.


















Comments