Warisan budaya perkukuh keharmonian masyarakat di Sabah
- nabalunews
- 1 day ago
- 1 min read

26 April 2026
KOTA KINABALU: Tema “Budaya Kita, Kita Jaga” menjadi teras penganjuran Majlis Hari Etnik Sabah 6.0 yang diadakan sempena sambutan ulang tahun kelahiran rasmi ke-75 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata pemeliharaan warisan budaya merupakan tanggungjawab bersama seluruh rakyat di negeri ini.
“Sabah kaya dengan kepelbagaian etnik, bahasa, adat dan tradisi yang bukan sahaja menjadi kebanggaan, malah merupakan kekuatan sebenar dalam membentuk masyarakat yang aman dan bersatu.
“Penyertaan hampir 700 peserta melibatkan 135 persatuan etnik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), penggiat seni serta wakil pelbagai agensi kerajaan mencerminkan sokongan padu masyarakat terhadap usaha memperkukuh perpaduan melalui warisan budaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hari Etnik Sabah 6.0 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, di sini, pada Sabtu.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin yang turut menyempurnakan acara berkenaan.
Jafry berkata kepelbagaian etnik, bahasa dan tradisi di Sabah terus menjadi asas penting dalam membentuk perpaduan serta keharmonian masyarakat di negeri ini.
“Hari Etnik Sabah 6.0 turut menjadi platform memperkukuh hubungan antara kaum melalui penglibatan pelbagai persatuan etnik, penggiat seni dan agensi kerajaan, selain mengangkat budaya tempatan sebagai produk pelancongan bertaraf antarabangsa.
“Usaha memelihara identiti budaya menjadi semakin penting dalam era globalisasi yang mencabar agar masyarakat tidak kehilangan jati diri yang berakar pada nilai dan tradisi,” ujarnya.
Pada majlis sama, Anugerah Peneraju Etnik serta sijil penghargaan turut disampaikan kepada penggiat seni dan budaya sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam memelihara dan mengembangkan seni budaya tempatan.















Comments