Warisan Nafi Terlibat Penganjuran Himpunan Gempur Rasuah 2.0
- nabalunews
- 15 minutes ago
- 1 min read

22 Jun 2025
KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) menyangkal dakwaan terlibat dalam penganjuran Himpunan Gempur Rasuah 2.0 yang berlangsung di sekitar pusat bandaraya ini, Sabtu lalu.
Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, parti berkenaan tidak terlibat dalam sebarang kapasiti penganjuran dan ia dianjurkan sepenuhnya oleh Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS).
“Kami menghormati pendirian mereka yang konsisten bahawa tiada parti politik dibenarkan terlibat dalam acara itu.
“Saya sendiri telah mengeluarkan kenyataan rasmi di laman Facebook saya bagi pihak Parti Warisan untuk menafikan sebarang bentuk penglibatan atau sokongan terhadap program berkenaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Mohd Azis berkata, Warisan bagaimanapun tetap menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman, seperti dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, ia termasuk hak pelajar, belia dan ahli parti politik, selagi himpunan dilakukan secara aman dan mengikut lunas undang-undang.
“Parti Warisan menegaskan semua ahli tidak memakai pakaian atau membawa sebarang simbol parti sekiranya mereka memilih untuk hadir ke perhimpunan berkenaan.
“Kehadiran mereka adalah atas kapasiti peribadi, bukan sebagai wakil parti. Bagi memastikan arahan ini dipatuhi, saya telah menghantar pegawai-pegawai untuk memantau acara berkenaan,” katanya.
Menurutnya, beliau juga yakin pihak berkuasa khususnya Cawangan Khas mempunyai maklumat dan rakaman lengkap berkaitan insiden berkenaan.
“Saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat berdasarkan fakta dan bukti. Jika terdapat kehadiran mana-mana ahli Warisan pada hari pertama, ia adalah atas hak peribadi mereka sebagai warganegara.
“Adalah penting agar kita bersikap adil dan tidak sewenang-wenangnya mempolitikkan gerakan mahasiswa yang tampil menyuarakan pendirian terhadap isu integriti dan tata kelola negara,” katanya.
コメント