nabalunews
Waspada Dengan Tawaran Tender Iklan Mencurigakan - MOTAC
8 September 2024
PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerima aduan dan pertanyaan daripada syarikat pembekal, yang mengatakan ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan tidak dikenali telah mengeluarkan surat pesanan kerajaan palsu kepada pihak ketiga bagi perkhidmatan membekal dan menghantar makanan dan minuman ke pejabat kementerian tersebut di Sabah.
Sehubungan itu MOTAC menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan sebarang status tawaran tender iklan atau sebut harga yang mencurigakan, kerana ia berkemungkinan tawaran palsu.
MOTAC dalam satu kenyataan mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dan sentiasa berwaspada dengan sebarang panggilan atau SMS palsu yang diterima daripada pihak yang tidak bertanggungjawab.
MOTAC meminta orang ramai untuk merujuk terlebih dahulu perkara berkenaan dengan pihaknya atau menghubungi pejabat MOTAC negeri yang berhampiran untuk pengesahan sebelum mengambil sebarang tindakan yang melibatkan transaksi kewangan.
"MOTAC memandang serius aduan ini dan mengesahkan tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan tanpa mengikut prosedur dan tatacara pengurusan kewangan yang telah ditetapkan di peringkat Ibu Pejabat mahupun negeri," menurut kenyataan itu.
Justeru orang ramai digesa agar tidak sewenang-wenangnya mempercayai mana-mana individu yang tidak dikenali dan mendedahkan maklumat peribadi.
"Sekiranya timbul sebarang keraguan, sila laporkan perkara ini dengan segera kepada pihak berkuasa Polis Diraja Malaysia atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk perhatian dan tindakan lanjut," katanya.
Comments