top of page

Waspada Penipuan Jual Beli Kereta "3 Penjuru"

  • nabalunews
  • 4 hours ago
  • 1 min read

12 Februari 2026


KOTA BELUD: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud memaklumkan orang ramai mengenai satu modus operandi penipuan jual beli kenderaan yang sedang aktif, yang dikenali sebagai skem "3 Penjuru".


Menurut pihak polis, penipu akan menyamar sebagai pembeli yang berminat kepada penjual asal kereta di platform dalam talian seperti Mudah.my. Penipu akan meminta salinan geran, kad pengenalan dan gambar kenderaan daripada pemilik sebenar.


Dokumen yang diperolehi itu kemudiannya akan digunakan oleh penipu untuk menyamar sebagai penjual atau wakil yang sah. Mereka akan memasang semula iklan kenderaan berkenaan dengan harga yang jauh lebih murah bagi menarik perhatian mangsa pembeli baharu.


Apabila mangsa pembeli terpikat, penipu akan meminta bayaran dimasukkan ke dalam akaun bank yang dikawalnya. Setelah wang diterima, penipu akan melarikan diri dan menghilangkan diri. Mangsa pembeli akan kehilangan wang, manakala penjual asal tidak menerima sebarang bayaran dan masih memiliki kenderaannya.


IPD Kota Belud menasihati orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga. Pembeli dan penjual dinasihatkan agar selalu berjumpa secara fizikal untuk mengesahkan identiti pemilik asal melalui kad pengenalan dan geran kenderaan. Pembayaran hendaklah dibuat secara langsung kepada pemilik asal yang disahkan, bukan melalui akaun pihak ketiga.


Langkah paling selamat ialah melakukan urusan pindah milik kenderaan secara rasmi bersama-sama di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dengan membawa geran asal dan kad pengenalan kedua-dua belah pihak.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page