top of page
Wartawan Nabalu News

Yang di-Pertuan Agong gesa institusi pengajian tinggi galakkan semangat akomodasi antara kaum


5 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


SHAH ALAM: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatudin Al-Mustafa Billah Shah menitipkan pesanan kepada institusi pengajian tinggi awam dan swasta agar memainkan peranan dalam mewujudkan semangat akomodasi antara kaum.


Baginda berkata, semangat akomodasi dan kesepaduan dalam kepelbagaian adalah ciri demokrasi Malaysia yang paling bestari dan penting untuk membangunkan negara ini menjadi maju.


“Kita boleh terus memartabatkan nasib dan masa hadapan kaum masing-masing menerusi pendidikan, tetapi dalam masa sama tidak mengenepikan usaha ke arah pembentukan satu identiti nasional,” titah baginda.


Baginda juga mengingatkan bahawa perjuangan untuk memartabatkan bangsa tidak seharusnya mencetuskan polarisasi kaum yang boleh menggugat perpaduan.


“Polarisasi turut membawa implikasi sosio-budaya yang luas dan jika tidak dibendung akan mengundang unsur radikalisme dan ekstremisme sehingga mewujudkan skala pertentangan yang besar dalam masyarakat,” titah baginda.


Baginda berucap demikian pada pembukaan Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Ke-97 di Dewan Agong Tuanku Canselor, di sini, semalam.




Comments


bottom of page