top of page
  • Wartawan Nabalu News

YBR bantu 500 pelajar asnaf dan b40 di Kuching


11 Mac 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KUCHING: Yayasan Bank Rakyat (YBR) telah mengambil langkah proaktif dalam membantu pelajar-pelajar asnaf dan keluarga B40 dengan menyediakan bantuan kewangan sebanyak RM50,000.


Inisiatif ini bertujuan untuk meringankan beban keluarga-keluarga di Kuching, Sarawak menjelang pembukaan sesi persekolahan yang akan bermula pada Isnin ini.


Bantuan yang diberikan melalui kerjasama dengan Kelab Sukan dan Kebajikan Bank Negara Malaysia (BNM) Kuching ini, akan memberi manfaat kepada 500 pelajar sekolah rendah dan menengah.


Majlis penyerahan replika cek telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, yang juga merupakan Ahli Parlimen Petra Jaya, di Institut Dewan Kampung Malaysia Jaya, Kuching.


Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang, menyatakan harapannya agar bantuan ini dapat membantu ibu bapa dalam mempersiapkan anak-anak mereka untuk sesi persekolahan yang baru. "Saya amat menyokong inisiatif bagi membantu mereka yang memerlukan dan semoga bantuan ini akan membantu lebih ramai pelajar di masa akan datang," ujarnya.


Sementara itu, Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani, menekankan bahawa walaupun jumlah bantuan yang disalurkan mungkin kecil, ia merupakan tanda kasih sayang dan ingatan YBR kepada mereka yang kurang bernasib baik.


"Semoga bantuan ini menjadi pencetus untuk murid-murid merasa seronok untuk ke sekolah serta mendapat pendidikan yang sama rata seperti yang lain," tambahnya.


Untuk tahun 2023, YBR telah memberikan manfaat kepada 10,726 murid melalui bantuan persekolahan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1.75 juta yang melibatkan 31 lokasi di seluruh negara.


Comments


bottom of page