YBR sampaikan bantuan awal pendidikan kepada 89 pelajar di Inanam
top of page
  • Wartawan Nabalu News

YBR sampaikan bantuan awal pendidikan kepada 89 pelajar di Inanam

26 November 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pekan Inanam mengambil inisiatif menyediakan Bantuan Awal Pendidikan kepada 89 penuntut institusi pengajian tinggi.


Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang berkata, penyaluran bantuan berjumlah kira-kira RM42,000 itu membabitkan pelajar Tingkatan 6 yang layak.


Beliau berkata, bantuan secara ‘On-Off’ bernilai RM500 dan RM300 itu diharap akan dapat memberi semangat kepada mereka bagi mencapai kejayaan dalam pendidikan untuk masa depan yang cemerlang.


“Ini adalah antara strategi dalam membantu masyarakat terutama dalam bidang pendidikan bagi meningkatkan sosioekonomi rakyat terutama di Sabah.

“Selaku salah sebuah agensi dibawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), usaha seperti ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial YBR.


“Usaha yang dilakukan bersama KRT Pekan Inanam hari ini adalah sokongan berterusan yang diberikan YBR dalam membantu anak-anak muda untuk masa depan yang cemerlang,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penyampaian Bantuan Awal Pendidikan, di Inanam Mall, di sini, kelmarin.


Turut hadir Pengerusi KRT Pekan Inanam, Datuk Wong Thien Fook dan pengerusi pelaksana program, Lea Ajis.


Sementara itu, Thien Fook merakamkan ucapan terima kasih kepada YBR kerana sudi bekerjasama menyalurkan bantuan berkenaan.


“Bantuan ini dilihat sebagai alternatif terbaik bagi mengurangi bebanan kos sara hidup keluarga yang kian meningkat akibat daripada ketidaktentuan ekonomi masa kini.


“Saya secara peribadi berharap, usaha ini dapat memberi sinar kegembiraan buat semua pelajar yang secara langsung akan membantu dalam pembangunan negara di masa akan datang,” katanya.


Thien Fook berkata, ia pasti akan dapat membantu meringankan bebanan kewangan yang ditanggung keluarga terutamanya kalangan B40.

bottom of page