top of page

YBR terus lakar kejayaan, dinobatkan Yayasan Terbaik 2023

  • Wartawan Nabalu News
  • Oct 25, 2023
  • 2 min read


25 Oktober 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Yayasan Bank Rakyat (YBR) terus melakar pencapaian membanggakan sepanjang tempoh penubuhannya dan baru-baru ini, ia dinobatkan sebagai Yayasan Terbaik 2023 bagi kategori Perbankan oleh CSR Award Malaysia sebanyak tiga kali berturut-turut.


Pengerusi Yayasan Bank Rakyat Datuk Philip Lasimbang berkata, selain itu hasil dapatan WIKI IMPACT, YBR telah disenaraikan sebagai salah satu daripada tujuh yayasan yang mendapat markah penuh bagi setiap penilaian ketelusan yang dijalankan lebih 1,600 yayasan di seluruh Malaysia.


“Pencapaian yang dikecapi ini merupakan bukti komitmen, displin dan semangat tinggi setiap warga kerja Yayasan Bank Rakyat dalam memperjuangkan pendidikan demi meningkatkan pendidikan negara,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Insentif Pelajar Cemerlang SPM & STPM Tahun 2022, di Dewan SM St.Michael Penampang, di sini, hari ini.


Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick.


Philip berkata, YBR menjadi antara badan pembiayaan pendidikan terbaik yang menyediakan pelbagai jenis bantuan kepada masyarakat kurang berkemampuan khususnya dalam pembangunan pendidikan.



“Yayasan Bank Rakyat amat memberi penekanan terhadap soal pendidikan kerana antara objektif penubuhan yayasan adalah untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi masyarakat melalui nilai pendidikan yang mampan,” katanya.


Beliau berkata, YBR memberikan sejumlah insentif berbentuk wang tunai sebanyak RM61,500 untuk disalurkan kepada 146 pelajar cemerlang di sekitar Penampang dari kalangan pelajar SPM dan STPM tahun 2022.


“Pelajar Cemerlang SPM yang mendapat keputusan 6A seramai 29 pelajar dan setiap pelajar menerima RM350. Keputusan 7A (26 pelajar) menerima RM400, keputusan 8A (27 pelajar) menerima RM450, pelajar yang mendapat keputusan 9A dan ke atas seramai 17 pelajar menerima RM500.


“Manakala pelajar cemerlang STPM yang mendapat keputusan 3.00 hingga 3.49 menerima RM400 dan keputusan 3.5 dan ke atas menerima RM500,” katanya.


Beliau berharap, insentif itu sedikit sebanyak dapat membantu para pelajar dalam menanggung perbelanjaan untuk memasuki alam pengajian di institusi pengajian tinggi.


“Saya percaya Majlis Pemberian Insentif Pelajar Cemerlang ini, selari dengan matlamat memotivasikan murid dan guru agar terus berusaha mencapai kecemerlangan,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page