Zahid: Kerajaan sasar kurangkan kemiskinan luar bandar ke bawah 10 peratus tahun depan
- Wartawan Nabalu News
- Aug 1, 2023
- 2 min read

1 Ogos 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Kerajaan berhasrat untuk mengurangkan kadar kemiskinan luar bandar ke paras bawah 10 peratus menjelang tahun hadapan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), berkata kerajaan telah melaksanakan pelbagai program untuk meningkatkan pendapatan dan kemahiran golongan miskin tegar, miskin dan B40 di kawasan desa.
"Kita lihat sebanyak 130,000 ketua isi rumah berada dalam kumpulan miskin tegar ketika ini, kita harus keluar daripada masalah ini dan ia tidak mustahil untuk dilakukan kerana pelbagai kementerian telah dikoordinasikan. Insya-Allah azam kita pada tahun ini dan tahun hadapan kadar ini akan berada di tahap satu digit iaitu bawah 10 peratus," Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu pada program Naratif Khas: Senada Memperkasa Ekonomi MADANI yang disiarkan RTM malam Isnin.
Antara program yang telah dilaksanakan oleh kerajaan adalah Program Peningkatan Pendapatan, Program Latihan dan Kemahiran Kerjaya, Program Desa Lestari dan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
"Selain itu, kita juga lakukan program latihan dan kemahiran kerjaya bagi meningkatkan kemahiran generasi baharu di kawasan desa dan hasilnya kita dapati 70 peratus peserta yang tamat latihan, mendapat pekerjaan," katanya.
Beliau juga berkata program Desa Lestari bukan sekadar bertujuan untuk memperkasakan sosioekonomi desa tetapi turut memberi khidmat nasihat dan juga bantuan kepada koperasi desa.
"Ini bagi membolehkan koperasi desa menjana pendapatan penduduk luar bandar sekali gus bersama-sama menurunkan kadar kemiskinan dan menangani kos sara hidup," katanya.
Tambah beliau, program TVET pula telah mencapai kejayaan dengan kadar kebolehpasaran peserta berada pada tahap 92.9 peratus.
Beliau berkata kerajaan komited untuk melaksanakan Ekonomi MADANI, kerangka ekonomi yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lepas, yang bertujuan mengangkat semula ekonomi Malaysia dan membawa limpahan hasil bagi rakyat.
Comments