top of page

Zahid minta pemimpin UMNO tidak lagi timbulkan sebarang provokasi

  • nabalunews
  • Oct 8, 2024
  • 2 min read

8 Oktober 2024


PUTRAJAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan untuk saling hormat-menghormati antara satu sama lain, selain tidak sesekali membuat kenyataan yang boleh menimbulkan sebarang provokasi.


“Selagi Presiden parti atau ketua parti tidak mengeluarkan sebarang kenyataan, maka kenyataan- kenyataan (dikeluarkan mereka) adalah berbentuk peribadi.


“Tidak perlu minta maaf, jangan usik rakan komponen dalam parti, harus menghormati antara satu sama lain, yang penting kita mesti mengekalkan keadaan situasi Kerajaan Perpaduan sekarang ini selain jangan timbulkan sebarang masalah,” katanya seperti dilaporkan Buletin TV3.


Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Rakan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), di sini, hari ini.


Turut hadir Ketua Pengarah NADMA, Datuk Khairul Shahril Idrus dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki


Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, perbezaan pandangan antara pemimpin parti komponen mesti diketepikan, ia termasuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) atau Pilihan Raya Umum (PRU) pada masa akan datang.


“Tadi sebelum dan selepas Mesyuarat Jemaah Menteri, saya telah bertemu dengan Perdana Menteri selain bersama presiden, pengerusi dan setiausaha parti dalam komponen Kerajaan Perpaduan ni.


“Kita ketepikanlah perbezaan pandangan ini dan kita mesti berjalan ke hadapan untuk jalin kerjasama yang baik bagi menghadapi apa saja termasuk kemungkinan PRK atau PRU,” jelasnya.


Beliau, menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed atau Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh adalah kenyataan peribadi mereka.


Sebelum ini, Nur Jazlan mendesak Pakatan Harapan (PH) memohon maaf secara terbuka kepada UMNO atas serangan selama berdekad terhadap parti itu.


Katanya, PRK DUN Mahkota pada 28 September lalu menunjukkan tiada satu pun parti tunggal dalam gabungan kerajaan perpaduan boleh mendakwa menjadi tunjang utama dalam pakatan berkenaan.


Sementara itu, Dr Akmal pula bertegas untuk tidak menarik semula kenyataan dibuat beliau yang menggesa supaya DAP memohon maaf kepada parti itu susulan segala tohmahan dilemparkan sebelum ini.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page