top of page
  • Wartawan Nabalu News

Zon merah di Labuan peringatan buat Sabah - Masidi



28 Nov 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Pengisytiharan Wilayah Persekutuan Labuan kembali kepada zon merah adalah satu peringatan kepada semua penduduk di Negeri Sabah, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun.

Katanya, trend jangkitan boleh bertukar sekelip mata sekiranya orang ramai lalai dan alpa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).


“Jumlah kes Covid-19 yang melambung tinggi akan membantut dan melambatkan usaha kita kembali kepada kehidupan seharian yang hampir normal seperti sebelumnya.


“Pelbagai langkah dan kawalan terpaksa dilaksanakan semula bagi mengawal dan mengurangkan jangkitan daripada terus bertambah,” katanya.


“Sikap kita sendiri lah yang menentukan sejauh mana dan secepat mana kita boleh kembali kepada kehidupan ‘normal’, katanya.


Hari ini, Sabah catat sebanyak 408 kes Covid-19 baharu, sedikit menurun berbanding semalam (438 kes).


Menurut Masidi yang juga jurucakap Covid-19 di Sabah, Kota Kinabalu kekal daerah yang mencatatkan jumlah kes baharu yang tertinggi di Negeri Sabah.


“Jumlah kes di Kota Kinabalu hari ini ialah 88, pertambahan 7 kes berbanding sebelumnya. Terdapat 12 kes baharu daripada Kluster Lautan Biru Pantai dan 10 kes yang melibatkan OKT.


*Sebanyak 13 daerah mencatatkan penurunan dengan dua daripadanya menunjukkan penurunan dua angka iaitu Kota Belud -15 kes dan Beaufort -10 kes.


“Sebanyak 11 daerah pula mencatatkan peningkatan kes termasuk Tuaran yang mencatatkan peningkatan +12 kes. Tiga daerah kekal sebagaimana catatan semalam. Daerah Semporna, Kunak dan Nabawan tidak mencatkan sebarang kes baharu (sifar),” jelasnya.


Beliau berkata, lebih 98 peratus daripada 408 kes di Sabah hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2 yang hanya memerlukan rawatan dan pemantauan di rumah atau di PKRC sahaja.


“Tidak ada pesakit dalam Kategori 3, seorang dalam Kategori 4 dan dua orang dalam Kategori 5. Lima pesakit masih dalam penilaian lanjut JKNS,” ujarnya.

Comments


bottom of page