top of page

1.37 juta usahawan informal direkod di seluruh negara: Ewon

  • nabalunews
  • Aug 14
  • 1 min read

ree

14 Ogos 2025


KUALA LUMPUR: Sebanyak 1.37 juta usahawan informal direkodkan di negara ini pada tahun 2023, merangkumi mereka yang berstatus bekerja sendiri dan majikan, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.


Beliau berkata, berdasarkan dapatan Banci Ekonomi 2023, sebanyak 219,015 pertubuhan milikan wanita turut direkodkan, dengan 185,582 daripadanya berstatus perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).


“Bagi PMKS secara keseluruhan, data Jabatan Perangkaan Malaysia tahun 2024 menunjukkan terdapat 1,086,386 pertubuhan direkodkan.


“Daripada jumlah itu, 761,897 perusahaan mikro, 306,764 perusahaan kecil, dan 17,725 perusahaan sederhana,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Muslimin Yahaya, yang meminta penjelasan mengenai bilangan terkini usahawan informal, mikro, kecil dan sederhana, usahawan wanita, serta peratusan usahawan yang dijangka terlibat dengan pelaksanaan e-Invois.


Ewon berkata, berdasarkan data Kementerian Kewangan, sehingga 31 Julai 2025, sebanyak 417 juta e-Invois telah dikeluarkan oleh 84,000 pembayar cukai, termasuk usahawan PMKS.


“KUSKOP mengunjurkan hanya 4.0 peratus usahawan PMKS dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan terlibat dengan pelaksanaan e-Invois selepas pematuhan penggunaannya bermula 1 Julai 2025,” katanya.


Beliau berkata, KUSKOP melalui agensi-agensinya seperti SME Corp dan INSKEN akan meneruskan program-program penerapan berkaitan dengan pelaksanaan e-invois.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page