1,980 permohonan kewarganegaraan diluluskan sejak 2024 – Saifuddin
- nabalunews
- Aug 4, 2025
- 2 min read

4 Ogos 2025
KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,980 permohonan kewarganegaraan telah diluluskan bagi kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warganegara asing bagi tempoh 2024 sehingga kini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, semua permohonan itu diproses di bawah Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan sementara menunggu pelaksanaan pindaan baharu yang akan membolehkan taraf kewarganegaraan diberikan secara automatik.
“Bagi tempoh 2024 hingga 2025, setakat saya bagi jawapan ini tak ada lagi yang kita tidak luluskan. Kecuali, purata permohonan baharu sekarang ini masuk lebih kurang 100 sebulan.
"Kemasukan ini kita belum proses mengikut pindaan baharu yang kita telah luluskan kerana 2024 hingga 2025 yang kita proses mengikut 15(2) jumlahnya adalah 1,980,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan asal Chiew Choon Man (PH-Miri) mengenai garis panduan terkini bagi kanak-kanak warganegara Malaysia yang dilahirkan di luar negara berikutan kelulusan pindaan Perlembagaan pada awal tahun ini, dan sama ada mereka perlu memohon semula kewarganegaraan serta status kelulusan permohonan setakat ini.
Pindaan itu antara lain memperuntukkan hak sama kepada kanak-kanak yang lahir di luar Persekutuan dengan ibunya pada masa kelahiran itu seorang warganegara untuk memperoleh kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang, berbanding hanya jika bapanya seorang warganegara.
Saifuddin Nasution berkata, pindaan tersebut masih perlu melalui beberapa lagi proses sebelum dikuatkuasakan dan tarikh kuat kuasa pindaan tersebut perlu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu seperti mana yang disebut dalam Seksyen 1(2).
Katanya, antara syarat penting sebelum penguatkuasaan pindaan ini adalah pemuktamadan kepada Peraturan-Peraturan Warganegara 1964, yang mengandungi 57 fasal dan perlu diperhalusi serta disesuaikan dengan pindaan terbaru.
"Kita perlu melakukan beberapa proses perolehan dan pindaan borang kerana permohonan ini nanti boleh dibuat secara dalam talian, dan sistem yang diguna pakai pejabat perwakilan Malaysia di luar negara masih menggunakan borang serta format lama.
“Kita jangkakan kemas kini kepada Peraturan-Peraturan Warganegara 1964 ini dapat diselesaikan sekitar September atau Oktober tahun ini. Kita harap tidak melewati pertengahan atau hujung tahun depan, tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong,” jelasnya.
Sementara itu katanya, selagi pindaan tersebut belum dikuatkuasakan secara rasmi, ibu warganegara Malaysia yang melahirkan anak di luar negara masih perlu mengemukakan permohonan kewarganegaraan anak mereka di bawah Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan.















Comments