10 pegawai IOT berlepas ke Kemboja pantau perjanjian gencatan senjata
- nabalunews
- Sep 10, 2025
- 2 min read

10 September 2025
SUBANG: Seramai 10 pegawai daripada Pasukan Pemerhati Interim (IOT) berlepas ke Kemboja hari ini bagi melaksanakan misi pemantauan terhadap perjanjian gencatan senjata antara negara itu dengan Thailand.
Mereka terdiri daripada enam pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mewakili Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia, serta masing-masing dua pegawai tentera dari Indonesia dan Filipina.
Menurut kenyataan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pasukan IOT yang diketuai Brigedier Jeneral Datuk Asri Shukor sebagai ketua misi berlepas ke dengan pesawat C-130 milik TUDM di Pangkalan Udara Subang, hari ini.
“Penubuhan IOT ini merupakan usaha sementara untuk melaksanakan tugas pemantauan bagi perjanjian gencatan senjata di antara Thailand dan Kemboja.
“Ia ditubuhkan atas jemputan rasmi kerajaan Kemboja, sementara rundingan antara kedua negara disusun ke arah pembentukan pasukan pemantau kekal, iaitu ASEAN Observer Team (AOT) seperti dipersetujui pada Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) pada 7 Ogos lalu,” menurut ATM.
Katanya, IOT ke Kemboja yang ketika ini disertai tentera Malaysia, Filipina dan Indonesia mungkin akan disertai oleh pasukan tentera Brunei dan Singapura dalam masa akan datang.
Menurutnya, Malaysia turut dipertanggungjawabkan untuk merangka dan membangunkan'Terms of Reference' (terma rujukan) bagi memastikan pelaksanaan IOT dijalankan secara berkecuali, profesional dan berkesan yang telah dipersetujui Kemboja.
“Misi ini bukan sahaja melibatkan pemantauan teknikal terhadap pematuhan gencatan senjata, malah membawa makna simbolik sebagai lambang solidariti dan komitmen ASEAN dalam menyelesaikan konflik secara aman,” katanya.
Dalam pada itu, ATM turut merakamkan penghargaan kepada semua negara anggota yang terlibat, khususnya Filipina dan Indonesia, atas sokongan dan kerjasama erat menjayakan misi tersebut.
ATM menegaskan penyertaan Malaysia dalam IOT mencerminkan komitmen negara untuk terus memainkan peranan aktif dalam mengekalkan keselamatan dan keamanan serantau melalui pendekatan kerjasama yang inklusif serta konstruktif.















Comments