104,000 Sijil Lahir daftar lewat diselesaikan Mahkamah Bergerak di Sabah sejak 2009
5 Oktober 2024
KUALA PENYU: Program Mahkamah Bergerak di Sabah berjaya menyelesaikan 104,221 kes Sijil Lahir daftar lewat sejak 2009 sehingga bulan lalu.
Daripada jumlah itu, 62,926 permohonan diluluskan manakala 13,207 lagi ditolak.
Menurut Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abdul Rahman Sebli, program Mahkamah Bergerak ini akan terus diperluas dan ditambah baik untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat khususnya di kawasan pedalaman.
Namun katanya program ini memerlukan peruntukan kerana ia menelan belanja yang besar.
Beliau berharap program ini akan diteruskan tahun hadapan dan pada tahun-tahun seterusnya.
Abdul Rahman ditemui media selepas meninjau program Mahkamah Bergerak di
Dewan Masyarakat Dato Shahbandar Makang Kuala Penyu.
Program ini diadakan selama 2 hari pada 2 dan 3 Oktober lalu.
Sementara itu Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Nelson W Angang yang juga Setiausaha Agung Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO)
menyambut baik program Mahkamah Bergerak ini kerana ia membantu masyarakat untuk mendapatkan perkhidmatan dari jabatan-jabatan berkaitan tanpa perlu ke bandar.
Ini kerana selain permohonan daftar lewat sijil lahir dan kematian, prosiding kes sivil dan jenayah yang melibatkan pemohon yang tinggal di kawasan pedalaman juga boleh dilaksanakan di program Mahkamah Bergerak ini.
"Ini membantu rakyat kita terutama sekali di pedalaman yang berdepan kesukaran untuk ke pekan atau bandar terdekat untuk berurusan dengan jabatan berkaitan. Dan dari segi Mahkamah Bergerak pula, saya difahamkan ini lebih tertumpu kepada pendaftaran lewat," katanya.
Sementara itu orang ramai yang ditemui turut mengalu-alukan perkhidmatan Mahkamah Bergerak ini.
"Kalau bagi saya ia memudahkan semua segala-galanya urusan termasuk mahkamah. Ia memudahkan kita berurusan berkaitan dokumen daftar lewat," kata seorang penduduk Kuala Penyu, Rosnah Dondongon.
Seorang lagi penduduk Kuala Penyu, Rosayati Ari berkata program Mahkamah Bergerak ini amat memudahkan urusan penduduk selain dapat menjimatkan masa kerana penduduk tidak perlu ke Kota Kinabalu untuk berurusan di jabatan kerajaan.
Program Mahkamah Bergerak di Kuala Penyu ini melibatkan penyertaan pelbagai jabatan.
Antaranya Khidmat Nasihat Undang-Undang oleh Peguam dari Pertubuhan Peguam Sabah, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Bantuan Guaman dan Jabatan Insolvensi Malaysia.
Turut diadakan, pemeriksaan kesihatan oleh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Program Mahkamah Bergerak ini di mulakan sejak 2007 lagi dan merupakan sebuah program khidmat masyarakat oleh Badan Kehakiman Negara kepada rakyat khususnya yang tinggal di kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak yang tidak mempunyai akses untuk mendapatkan perkhidmatan kehakiman.
Hari ke-2 program di Kuala Penyu turut
dihadiri oleh Abdul Rahman bersama-sama dengan Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi serta para pegawai Kehakiman dari Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak.
"Ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak serta kesemua jabatan dan agensi yang telah hadir dan memberikan perkidmatan yang terbaik dan cemerlang kepada warga Kuala Penyu," kata Nelson.
Comments