top of page

109 peserta jayakan pertandingan Motorcross anjuran Pandaras

  • Wartawan Nabalu News
  • Dec 28, 2021
  • 1 min read

ree
Para peserta memulakan perlumbaan.

28 Dis 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Seramai 109 peserta mengambil bahagian dalam pertandingan Motorcross/Cubcross anjuran Persatuan Perpaduan Rumpun Etnik Sabah (Pandaras) Cawangan Tempasuk Kota Belud, baru-baru ini.


Timbalan Pengerusi Pandaras, Remzie Kisi bekata, pertandingan itu dianjurkan dengan kerjasama Ketua Kampung dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Bangkahak dan Persatuan Bangun Sabah.


“Ia diadakan bertempat di Ohana Track, Kampung Bangkahak dengan objektif untuk mengukuhkan silaturahim antara peserta dari pelbagai daerah di Sabah.

ree
Remzie (kiri) menyampaikan sumbangan sebuah laptop untuk kegunaan Pandaras Kota Belud sambil disaksikan Siang Sibin.

“Dalam masa yang sama, penganjurannya juga bertujuan mempromosikan persatuan Pandaras kepada masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini.


Remzie turut mengucapkan setinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah bersama-sama menjayakan program tersebut sama ada secara langsung atau tidak langsung.


“Terima kasih juga kepada sambutan daripada semua peserta yang cukup memberangsangkan.

ree
Para pemenang mengambil gambar bersama.

“Semoga hubungan erat dan persahabatan yang terjalin akan menyemarakkan lagi industri permotoran dan hubungan setia kawan sesama,” katanya.


Pada pertandingan itu Darrel Mick Victor muncul sebagai pemenang kategori terbuka sekali gus meraih hadiah wang RM500.


Kategori Veteran dimenangi Elwin Harnod, manakala kategori Standard diungguli Nazrul Hisham. Mereka masing-masing menerima hadiah wang RM300.


Bagi kategori Cubcross, juara menjadi milik Yurik dengan hadiah RM300. Kesemua pemenang turut membawa pulang piala, medal dan sijil penyertaan.


Hadir sama, Pengerusi Pandaras Bahagian Kota Belud, Siang Sibin.



 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page