126 orang sertai Kejohanan Petanque Sabah
top of page
  • Wartawan Nabalu News

126 orang sertai Kejohanan Petanque Sabah


Johan bagi kategori dewasa, Mohd Fazrul Ismansyah Bin Mohd Faizal (dua kiri) dan johan bagi kategori pelajar, Muhd Naziril Bin Nasib (kanan).

17 Julai 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Seramai 126 orang telah memeriahkan Kejohanan Petanque Terbuka Perseorangan Terbuka yang diadakan di Arena Petanque Politeknik, di sini, semalam.


Kejohanan ini dianjurkan oleh Persatuan Petanque Negeri Sabah dan Jabatan Sukan dan Belia Persekutuan Negeri Sabah sempena Hari Kebangsaan 2022.


Seramai 54 orang peserta adalah dalam kategori pelajar, manakala terdapat 72 peserta dalam kategori dewasa.


Bagi kategori terbuka pelajar, johan dimenangi oleh Muhd Naziril Bin Nasib dari SMK Kudat, manakala naib johan dimenangi oleh Ainol Shahramadhan Bin Abu Bakar (SMK Putatan).


Nur Shaqila Sari Binti Basir dan Muhammad Aiman Danial Bin Mohd Ali dari SMK Kolombong mendapat tempat ketiga bersama bagi kategori ini.


Pemenang tempat pertama membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM300, diikuti dengan RM200 kepada pemenang tempat kedua dan RM100 tempat ketiga.


Satu anugerah khas juga telah diberikan kepada Nur Shaqila bagi kategori pemain wanita terbaik.


Sementara itu, Mohd Fazrul Ismansyah Bin Mohd Faizal (Putatan) merangkul tempat pertama bagi kategori dewasa terbuka, membawa pulang hadiah wang tunai RM800.


Tempat kedua yang mendapat hadiah wang tunai RM500 pula dimenangi oleh Mohd Hafizuddin Edmund Abdullah (Kinarut) manakala hadiah wang tunai RM200 pula diberi kepada wakil dari Putatan iaitu Mohd Faizalnoor Bin Zawaya dan Mohd Azley Bin Azlan.


Sementara itu, anugerah khas wanita terbaik serta pemenang keempat hingga kelapan bagi kategori dewasa masing-masing membawa pulang RM100.

bottom of page