129 KES BAHARU, PENINGKATAN KES DISEBABKAN KLUSTER SINSINGON NABAWAN129 KES BAHARU, PENINGKATAN KES DISEBABKAN KLUSTER SINSINGON NABAWAN
top of page
  • Wartawan Nabalu News

129 KES BAHARU, PENINGKATAN KES DISEBABKAN KLUSTER SINSINGON NABAWAN


26 Feb 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Sebanyak 129 kes positif baharu Covid-19 dicatatkan di Sabah hari ini, menjadikan jumlah kumulatif 52,595 kes dan satu kes kematian direkodkan di Papar.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, peningkatan kes pada hari ini disebabkan oleh Kluster Sinsingon di Nabawan yang kini merekodkan jumlah kumulatif sebanyak 29 kes positif Covid-19.

"Kluster ini juga dikesan telah menular ke daerah lain iaitu Kota Kinabalu dengan tiga kes dan dua kes di Keningau.


"Kalau kita lihat kes baharu Covid-19 kelmarin hanya 93 kes, sebelum ini pernah 85 kes dan semalam di Kota Kinabalu hanya empat kes tetapi hari ini naik sehingga 20 kes.


"Bagaimanapun sebarang kes di bawah 150 kes adalah diangap satu jumlah yang stabil dan menunjukkan ke arah penstabilan," katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.


Masidi berkata, kes-kes jangkitan mengikut daerah, Nabawan mencatatkan kes tertinggi sebanyak 29 kes, Keningau (22 kes), Kota Kinabalu (20 kes), Kalabakan (12 kes), Sandakan (sembilan kes), Tawau dan Kota Marudu masing-masing tujuh kes.


"Lahad Datu dan Kinabatangan masing-masing lima kes, Kudat (tiga kes), Penampang dan Papar masing-masing dua kes, Pitas, Putatan, Beluran, Semporna, Kota Belud dan Tambunan masing-masing satu kes.

"Daerah yang tidak mencatatkan sebarang kes ialah Tuaran, Tenom, Beaufort, Telupid, Ranau, Sipitang, Kunak, Kuala Penyu dan Tongod," katanya.


Beliau berkata, pada hari ini seramai 132 pesakit Covid-19 telah sembuh dari hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh 51,184 orang.


"Pada hari ini juga sejumlah 800 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 283 orang di hospital, 509 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan lapan orang lagi di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara.


"Bilangan pesakit COVID-19 dalam ICU ialah 38 orang dan 13 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan," katanya.


Beliau berkata, daripada 129 kes positif Covid-19 yang dicatatkan, sebanyak 61 kes (47.3%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 11 kes (8.5%), saringan kluster baharu dan sedia ada 46 kes (35.7%) dan 11 kes (8.5%) adalah dari lain-lain kategori.



bottom of page