13 PATI ditahan di Labuan, majikan diingatkan patuhi undang-undang

1 Ogos 2024
LABUAN : Serbuan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Labuan telah membawa kepada penahanan 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam dua operasi berasingan yang dijalankan pada awal minggu ini.
Menurut Pengarah Imigresen Labuan, Raymond Entalai, kesemua PATI yang ditahan terdiri daripada 12 wanita warga Filipina dan seorang lelaki Pakistan.
Mereka ditahan di beberapa premis di sekitar Labuan.
"Kesemua PATI yang ditahan kini sedang disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," kata Raymond.
Beliau turut mengingatkan para majikan agar memastikan pekerja asing yang mereka ambil memiliki dokumen yang sah.
"Kegagalan mematuhi undang-undang boleh membawa kepada tindakan undang-undang," tegasnya, lapor Berita RTM.
Raymond menjelaskan bahawa di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, majikan yang didapati bersalah mengambil PATI untuk bekerja boleh dikenakan denda tidak kurang RM10,000 atau tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap PATI yang diambil bekerja.
JIM menegaskan bahawa pihaknya akan terus menjalankan operasi untuk membanteras kegiatan pengambilan pekerja asing secara tidak sah.
Comments