14,858 akaun luar negara bernilai RM10 bilion dikesan tidak kemuka laporan cukai
- nabalunews
- 7 minutes ago
- 1 min read

2 Januari 2026
CYBERJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengenal pasti 14,858 orang pemastautin cukai Malaysia dengan jumlah keseluruhan baki akaun kewangan luar negara melebihi RM10 bilion, namun tidak mengemukakan pelaporan cukai melalui Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP).
LHDN dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan, pengesanan itu dibuat hasil pertukaran maklumat akaun kewangan antarabangsa melibatkan kerjasama dengan lebih 100 negara dalam usaha memperkukuh pematuhan cukai serta menangani isu pelarian cukai rentas sempadan.
Menurutnya, akaun kewangan luar negara dengan baki signifikan itu melibatkan beberapa negara termasuk Luxembourg, Hong Kong, Guernsey, Cayman Islands, Bahamas dan Bermuda.
“LHDN telah menghantar peringatan kepada pemastautin cukai berkenaan sebagai pendekatan galakan pematuhan secara sukarela (nudging), di samping memberi ruang untuk membuat semakan dan pengisytiharan pendapatan sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan dilaksanakan,” katanya.
Dalam pada itu, LHDN turut menasihati pemastautin cukai yang mempunyai pendapatan belum dilaporkan serta akaun kewangan luar negara daripada sumber yang sepatutnya dikenakan cukai di Malaysia supaya tampil segera membuat pengisytiharan.
Langkah itu, katanya, penting bagi memastikan pematuhan sewajarnya serta mengelakkan penalti dan tindakan undang-undang di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.
Dalam kenyataan sama, LHDN menegaskan komitmen menjalankan mandat berlandaskan kerangka perundangan negara, menjunjung prinsip keadilan, ketelusan dan profesionalisme dalam setiap tindakan.
“Dengan pendekatan berstrategi dan kerjasama semua pihak, LHDN akan terus memperkukuh tadbir urus percukaian negara demi kepentingan rakyat dan pembangunan negara,” katanya.














