top of page

14 akta baharu, 97 pindaan diluluskan dalam 2.5 tahun pentadbiran Kerajaan MADANI

  • nabalunews
  • Aug 14, 2025
  • 1 min read

14 Ogos 2025


KUALA LUMPUR: Sebanyak 14 akta baharu digubal sepanjang dua setengah tahun pentadbiran Kerajaan MADANI, selain 97 pindaan akta dan 13 rang undang-undang dilaksanakan sejak 2023 sehingga kini.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan pembaharuan undang-undang dan perlembagaan itu merupakan pencapaian positif di bawah pentadbirannya.


Katanya, lima akta baharu digubal dan 34 akta dipinda pada 2023, manakala bagi tahun 2024, lima akta baharu serta 57 pindaan akta telah diluluskan.


“Bagi tahun 2025, setakat ini, empat akta baharu digubal, enam akta yang dipinda, dua rang undang-undang baharu diperkenalkan dan 11 rang undang-undang yang dibentangkan sehingga kini.


“Perkembangan ini adalah rekod dua setengah tahun pentadbiran Kerajaan MADANI yang belum dapat ditandingi, termasuk oleh kerajaan sebelum ini,” katanya semasa sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.


Beliau menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu), yang ingin tahu senarai undang-undang yang disifatkan sebagai lapuk yang akan dipinda atau dimansuhkan kerajaan.


Anwar berkata, secara keseluruhannya sebanyak 23 langkah reformasi undang-undang setakat ini, termasuk dua pindaan Perlembagaan, satu berkaitan isu kewarganegaraan dan satu lagi membabitkan Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA).


Menurutnya, antara undang-undang utama yang telah digubal atau dipinda ialah Seksyen 309 Kanun Keseksaan, Akta Tanggungjawab Fiskal 2023, Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori, Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak, serta pindaan Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak.


“Beberapa rang undang-undang bakal dibentangkan, termasuk Akta Perkhidmatan Parlimen, Rang Undang-Undang Ombudsman, Rang Undang-Undang Kuasa Admiralti, Rang Undang-Undang Jenayah Siber, serta Pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya,” katanya.


Jelasnya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) dijangka membentangkan perkara berkaitan pemisahan kuasa itu pada penghujung bulan ini.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page