146 TUNTUTAN DIFAIKAN DI TTPM SEPANJANG TAHUN LALU
- Wartawan Nabalu News
- Jan 22, 2021
- 2 min read

22 Jan 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Sebanyak 146 tuntutan difailkan di Tribunal Tuntuan Pengguna Malaysia (TTPM) Sabah sepanjang tahun lalu, kata Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Georgie Abas.
Beliau berkata, kebanyakan tuntutan berkaitan telefon bimbit iaitu sebanyak 28 kes diikuti tuntutan berkaitan pakej Umrah/Haji (19 kes); tuntutan terhadap agensi pelancongan (14 kes); tuntutan berkenaan pengubahsuaian rumah (10 kes) dan tuntutan bengkel kereta sembilan kes.
“Selain menyelesaikan aduan para pengguna, KPDNHEP menerusi TTPM turut mendengar tuntutan yang difailkan bagi kes-kes tebus rugi pembelian barang dan perkhidmatan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 dengan jumlah amaun tuntutan tidak melebihi RM50,000,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Georgie berkata, sepanjang tahun lalu, klasifikasi tuntutan terbanyak yang jatuh Award adalah tuntutan berkaitan pakej Umrah/Haji (15 kes) dengan jumlah Award RM99,995 dan 14 daripada kes tersebut telahpun selesai dibayar.
Beliau berkata, bagi Sektor Perdagangan Dalam Negeri pula, Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia (KBBM) dan Program Jualan Malaysia (PJM), ia dilaksanakan di seluruh negara.
“Ia bertujuan untuk menggalakkan pengguna membeli barangan buatan Malaysia di samping membantu pengusaha tempatan meningkatkan ekonomi dengan merangsangkan dan menghidupkan semula aktiviti sektor peruncitan dalam negeri semasa pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.
Georgie berkata, KBBM dan PJM peringkat negeri Sabah telah dilaksanakan di Kota Kinabalu dari 5 hingga 7 September tahun lalu dengan penyertaan 26 gerai menjual pelbagai produk buatan tempatan seluruh Sabah.
Katanya lagi, KPDNHEP turut menerima sebanyak 3,507 permohonan baharu dan pembaharuan lesen runcit dan borong Barang Kawalan Berjadual (CSA) sepanjang tahun lalu.
“Kesemuanya telahpun diproses bagi membolehkan para peniaga menjual barang kawalan seperti gula, minyak masak, tepung gandum, gas petroleum cecair, petrol dan diesel dengan sah.
"Bagi permohonan lesen alat timbang sukat (ATS) pula, terdapat 102 permohonan baharu dan 35 permohonan pembaharuan telah diproses.
“Permohonan dibuat dan diproses secara dalam taluan selaras dengan budaya norma baharu semasa Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya.
Georgia berkata, empat stesen minyak penuh (full-fledged) dan tiga buah Portable Container System (PCS) yang baharu turut dibuka pada tahun lalu bagi kemudahan pengguna serta menjamin bekalan minyak petrol dan diesel mencukupi.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan stesen minyak di Sabah sebanyak 214 buah (199 stesen minyak penuh, 12 stesen minyak mini dan 3 PCS),” katanya.
"Sepanjang tahun 2020, KPDNHEP Negeri Sabah juga telah melaksanakan Program Penyeragaman Harga bertujuan memastikan para penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman menerima barangan keperluan dengan harga yang sama bagi tujuh barangan kawalan berjadual dan keperluan asas seperti di bandar.
Sebagai usaha berterusan dalam meningkatkan tahap kesedaran kepenggunaan dalam kalangan rakyat negeri ini, KPDNHEP Negeri Sabah telah melaksanakan sebanyak 77 program sepanjang tahun lalu melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.
Comments